Israel musnahkan saluran paip Palestin

in Global by


BAITULMAQDIS – PALESTIN. Jentolak Israel merosakkan saluran paip yang membekalkan air bersih ke sebuah perkampungan di utara Lembah Jordan, semalam.


Menurut seorang pegawai tempatan, Mutaz Bisharat, empat jentolak menceroboh perkampungan Ras Al-Ahmar sambil diiringi tujuh jip tentera Israel, dan mula memusnahkan saluran paip berkenaan.


Bisharat menambah bahawa jentolak Israel telah meratakan tanah di kawasan itu selama lima jam, bagi mewujudkan laluan tentera.


Beliau menegaskan bahawa saluran paip yang musnah itu, digunakan oleh petani Palestin sebagai keperluan harian selain digunakan bagi mengairi tanaman mereka.


“Israel memusnahkan saluran paip dan mewujudkan laluan sepanjang 2.5 kilometer menghubungkan jalan utama kampung Ras Al-Ahmar ke daerah Msheibek, yang diisytiharkan oleh Tel Aviv sebagai zon ketenteraan tertutup,” katanya.


Sementara itu, penduduk tempatan memberitahu agensi berita Ma’an bahawa walaupun tentera Israel memusnahkan kawasan berkenaan,  penduduk Palestin tetap dihalang daripada memasuki atau keluar dari kampung tersebut.


Ras Al-Ahmar adalah salah satu daripada kira-kira 180 buah kampung Palestin di Tebing Barat yang diduduki di atas tanah yang ditetapkan sebagai Kawasan C.


Ia dikuasai sepenuhnya oleh Israel dan sering dijadikan sasaran operasi ketenteraan sehingga memaksa penduduk kampung meninggalkan kediaman mereka selama beberapa jam hampir setiap hari.


Di samping itu, Israel telah mewartakan kawasan di perkampungan berkenaan sebagai zon menembak. – Middle East Monitor


Source: SH Global

[featured-video-plus]