Isu perkauman dibawa BN tak beri kesan pengundi Sg Kandis

in Politik by


SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) yakin isu perkauman dimainkan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam semasa kempennya tidak akan membawa sebarang pengaruh terhadap pengundi kawasan berkenaan.


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pengundi di kawasan itu bijak menilai sejauh mana pencapaian kerajaan negeri yang sudah mentadbir Selangor lebih 10 tahun.


“Isu perkauman itu sememangnya merupakan bahan modal mereka (BN) untuk berkempen, tapi kita sudah buktikan sejak lebih 10 tahun lalu atau tiga kali Pilihan Raya Umum kita berjaya menangkis isu dimainkan UMNO dan BN ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) 2018 di sini hari ini.


Kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan ASG 2018 apabila berjaya meraih 37 pingat emas, 34 perak dan 32 gangsa.


Sementara itu ketika ditanya sama ada PH yakin dapat menambah jumlah majoriti dimenanginya berbanding semasa PRU14 lalu, Amirudin optimis ia dapat dicapai.


Bagaimanapun, beliau berkata isu utama yang dirisaukan adalah jumlah peratusan pengundi bakal keluar mengundi pada 4 Ogos depan.


“PRK Sungai Kandis diadakan dalam tempoh amat dekat dengan PRU lepas…kita risau apabila pengundi berasa tiada keperluan penting untuk keluar mengundi selepas PH menang besar pada PRU lepas.


“Tetapi jentera PH di PRK Sungai Kandis kini giat berkempen dan menghubungi pengundi di sana dan juga berada di luar Sungai Kandis untuk keluar mengundi pada 4 Ogos nanti.


“Jika peratusan keluar mengundi tinggi, saya yakin majoriti bakal diperoleh calon PH juga tinggi. Saya berharap semua pengundi keluar mengundi untuk menunjukkan sokongan berterusan kepada PH dan usaha PH membaiki negara,” katanya.


PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.


Pada PRK itu, Lokman Noor berhadapan dengan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas K. Murthy. Ia merupakan PRK pertama diadakan selepas PRU14.


Pada PRU14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi, menentang calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76). – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]