Kerja keras sediakan pengajian berkualiti

in Uncategorized by


IPOH – Warga kerja Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) perlu sentiasa berkerja keras sebagai persiapan menyediakan pengajian berkualiti.


Naib Canselornya, Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata, usaha  berkenaan perlu bermula sekarang agar Usas dapat menyediakan pengajian tinggi berkualiti bertaraf dunia.


“Dari sekarang kita hendaklah bekerja keras mempersiapkan diri dengan menyediakan pengajian tinggi yang kualitinya bertaraf dunia,” katanya.


Nordin berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Masjid Raja Permaisuri Bainun, Dewan Penginapan Mahasiswa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) dan Perpustakaan dan Dewan Serbaguna Usas, yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semalam.


Turut berkenan berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.


Hadir sama, Menteri Besar, Ahmad  Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ghazali Jalal; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), Datuk Dr Amirudin Muhamed; Speaker Dewan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham serta barisan Exco Kerajaan Negeri.


Mengenai kemudahan itu Nordin berkata, dewan penginapan lima tingkat yang menempatkan 75 unit kediaman itu mula didiami pelajar sejak Januari lalu.


Katanya, dewan penginapan berkenaan memiliki dua blok bangunan bernilai RM13.5 juta dan mampu menampung seramai 720 pelajar.


“Kami sangat berterima kasih kepada Maipk yang menyokong pembiayaan bangunan penginapan bagi pelajar ini.


“Begitu juga dengan Perpustakaan Raja Ashman Shah yang dahulunya dikenali sebagai Perpustakaan Usas dan beroperasi di Ipoh pada 1999 sebelum berpindah ke bangunan baharu di Kuala Kangsar pada 2008.


“Selain itu, Masjid Raja Permaisuri Bainun yang bercirikan kontemporari Melayu moden setinggi dua tingkat dibina pada tanah seluas 2,355.4 meter persegi dan mampu menampung seramai 2,000 jemaah.


Nordin turut berharap agar perasmian masjid serta perpustakaan baharu di Usas akan mengeratkan lagi hubungan antara pihak Usas dengan keluarga Diraja Perak.


“Mudah-mudahan akan kekal turun-temurun hubungan fizikal dan rohani antara Usas dengan keluarga Diraja Perak.


“Alangkah berertinya kepada Usas jika suatu hari nanti akan menjadi tempat pilihan keluarga Diraja mendapatkan ilmu pengajian tinggi.


“Apabila hal itu terjadi nanti bertambah-tambah tinggilah martabat Usas,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]