KJ akan turun ke Sg Kandis

in Politik by


SHAH ALAM – Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan hadir ke Sg Kandis pada 28 Julai ini bagi membantu kempen BN menjelang PRK Dun Sg Kandis, 4 Ogos ini.


Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berkata, Khairy telah memberikan komitmen untuk turut membantu menguatkan kempen jentera BN dalam usaha merampas kerusi N49 Sg Kandis.


Katanya, selepas Khairy, kempen BN akan disusuli dengan kehadiran Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi selain veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang dijangka turut akan membuat kunjungan.


“Ya, beliau (Khairy) akan turun ke Sg Kandis, dijadualkan pada 28 Julai beliau akan turun untuk bantu jentera berkempen.


“Selepas itu, Datuk Seri Zahid (Hamidi) juga akan turun ke sini dan jika tiada halangan mungkin kita akan lihat juga kelibat Ku Li (Tengku Razaleigh),” katanya kepada pemberita sewaktu lawatan kempen di Kg Johan Setia, hari ini.


Terdahulu, ketiadaan kelibat Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, sejak tempoh berkempen bagi PRK Dun Sg Kandis sedikit menjadi tanda tanya.


Malah, sejak tewas dalam pemilihan Presiden Umno sebelum ini, beberapa tindakan Khairy dilihat mendapat pelbagai reaksi termasuk tidak turut serta Ahli Parlimen BN untuk keluar Dewan Rakyat isu lantikan Yang Di Pertua dewan, serta tidak hadir pada mesyuarat pramajlis Parlimen BN.


Tindakannya turut mendapat kritikan terbuka daripada beberapa pimpinan termasuk Najib dan Setiausah Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa lantas mencetuskan spekulasi terhadap sokongan dan komitmen Khairy.


Bagaimana pun, Khairy menafikan dakwaan itu, sebaliknya menyatakan komitmen terus setia bersama Umno, sambil menasihatkan supaya ahli dan pemimpin Umno menzahirkan kesungguhan dalam melakukan pembaharuan kepada parti.


Kempen PRK Dun Sg Kandis yang memasuki hari keenam telah menyaksikan beberapa pemimpin utama BN termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turun ke Sg Kandis.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]