Lapan beranak terima bantuan zakat

in Edisi by


KULIM – Kesengsaraan hidup yang ditanggung sebuah keluarga di Taman Mahsuri kini mendapat perhatian Jabatan Zakat Daerah Kulim.


Pegawai Zakat Daerah Kulim, Mohd Khairi Ishak berkata lapan beranak terbabit kini hilang sumber pendapatan kerana ketua keluarga Norisam Ghazali,50 telah diberhentikan kerja.


Menurutnya, bukan sahaja Norisam hilang pekerjaan malah isterinya Haniza Omar,37 juga hanya mampu terbaring kerana menghadapi pelbagai masalah kesihatan.


“Keluarga ini dulu kita sudah bantu sejak Januari 2014 lagi dengan memberi bantuan barangan makanan setiap bulan sehingga kini untuk meringankan beban Norisam.


“Kita prihatin dengan keadaan Norisam yang tak ada sumber pendapatan, isteri yang sedang menderita kanser serviks dan masalah tulang belakang.


“Kita akan membantu keluarga ini meneruskan hidup sementara Norisam mendapatkan pekerjaan lain, tampung kos rawatan isterinya, dan anak-anak dapat meneruskan persekolahan mereka,”katanya.


Menurutnya, pihaknya juga berusaha mengemas kini maklumat mereka dengan segera untuk pemberian bantuan sepatutnya.


“Kita akan cuba dapatkan bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam masa terdekat,” katanya.


Tambahnya, orang ramai digalakkan untuk memberikan maklumat berkenaan asnaf di sekitar daerah ini melalui talian aduan asnaf iaitu 019-5732155 supaya bantuan sepatutnya dapat disampaikan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]