Mayat nelayan hilang ditemui

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- Mayat seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki bersama seorang rakan karam kira-kira tujuh batu nautika dari Selatan Pulau Perhentian, dua hari lalu ditemui pagi tadi.


Mayat, Mohd Shairil Ibrahim, 35, dari Kampung Telaga Papan, Pasir Putih, Kelantan, ditemui terapung oleh sebuah bot nelayan sebelum dibawa ke jeti nelayan Kuala Besut, kira-kira jam 2.45 petang tadi.


Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( Maritim) Terengganu, Komander Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, setiba di jeti, kedua ibu bapa mangsa dipanggil sebelum mengesahkan mayat berkenaan adalah anak mereka.


Beliau berkata, sejurus Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan menerima laporan berkaitan kejadian daripada rakan mangsa yang terselamat, Mohd Saupi, kira-kira jam 7.30 malam, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan serta merta.


“Sebuah aset Maritim Terengganu dan sebuah lagi dari Maritim Kelantan dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri hilang.


“Operasi yang turut dibantu sebuah aset laut Polis Diraja Malaysia dijalankan dalam kawasan sekitar 10 batu nautika akan diperluaskan jika mangsa belum ditemui.


“Bagaimanapun, sejurus kedua ibu bapa mangsa mengesahkan mayat ditemui adalah anak mereka, jadi arahan mencari dan menyelamat ditutup serta merta,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.


Semalam, Sinar Harian ada melaporkan seorang nelayan dikhuatiri hilang sejak dua hari lalu apabila bot dinaiki bersama seorang rakan karam kira-kira tujuh batu nautika dari Selatan Pulau Perhentian.


Bot membawa mangsa dalam perjalanan dari Pulau Perhentian ke Pulau Lang Tengah dipukul ribut menyebabkan mereka terjun menggunakan pelampung menyelamatkan diri.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]