Nur Adibah nekad bangunkan semula roh perjuangan

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Mahu menaikkan semua roh perjuangan anak muda khususnya Puteri dan Wanita di Johor, itu antara tekad orang nombor dua terkuat dalam Puteri Umno Johor, Nur Adibah Sapar.


Beliau yang juga merupakan Ketua Puteri Umno Bahagian Tenggara, mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Zahida Zarikh Khan kerana mempercayai dan melantik dirinya.


“Insya-ALLAH saya akan galas tanggungjawab sebaik mungkin bagi membantu Ketua Puteri Umno Negeri Johor.


“Dalam keadaan Umno sebagai parti pembangkang, itu bukan alasan kami untuk tidak bersama dan membantu rakyat di luar sana. Kita akan berterusan membantu golongan muda dan mendengar suara mereka.


“Sebagaimana yang kita sedia maklum pelbagai fitnah dan tohmahan pihak kerajaan sekarang lakukan pada Umno. Tetapi sehingga sekarang masih tiada bukti dikaitkan kesalahan seperti yang digemburkan sebelum dan sesudah pilihan raya.


“Bahkan kami akan terus menuntut manifesto-manifesto yang kerajaan sekarang janjikan sebelum PRU14,” katanya.


Nur Adibah berkata, dengan pemikiran yang positif, Puteri juga akan bersiap siaga menghadapi perubahan.


Katanya, ini kerana pemikiran akan menentukan setiap tindakan yang bakal dilakukan.


“Kita jangan menumpukan kesalahan tidak dapat terlihat, tetapi kita harus melihat kebenaran tidak terlihat. Kita bukan sahaja perlu menganalisis media yang ada, tetapi perlu mengkaji dan mencari sumber-sumber media yang disembunyikan kebenaran dilakukan oleh kerajaan dan pembangkang.


“Dari situlah baru kita dapat melihat di mana pro dan kontra setiap apa yang Umno lakukan pada rakyat selama ini.


“Belum pun sampai 100 hari pemerintahan PH, terlalu banyak perubahan drastik dilakukan. Banyak keluhan dan rintihan kami dengar daripada pengundi lebih-lebih lagi pengundi PH di mana arah tuju kerajaan sekarang di mana segala janji yang dikatakan tidak dapat ditunaikan sehingga sekarang,” katanya.


Nur Adibah turut menyatakan Puteri Umno Johor akan tetap setia dan berkhidmat bagi memastikan nasib golongan muda terus terbela untuk agama, bangsa dan negara.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]