Perlis bukan negeri wahabi: Raja Perlis

in Nasional by


PADANG BESAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah  Perlis bukanlah negeri yang mengamalkan ajaran Wahabi seperti didakwa pihak tertentu.


Titah  baginda, Perlis tetap berpegang kepada Sunnah Waljamaah iaitu mengguna pakai  keempat-empat mazhab, berbeza dengan beberapa negeri lain yang mengamalkan Sunnah Waljamaah bermazhab.


“Beta ingin mengulangi dan menegaskan bahawa Perlis tidak mengamalkan (ajaran) Wahabi yang mengikut tafsiran negara-negara barat Wahabi ialah kumpulan pengganas yang turut melakukan pembunuhan.


“Saya sendiri tidak faham apa itu Wahabi sebenarnya. Justeru, jangan ada lagi dakwaan bahawa  Perlis negeri Wahabi,” titah baginda semasa  merasmikan Masjid Al-Qufran Batu 2 Lama, Jalan Kaki Bukit, dekat sini malam tadi.


Majlis perasmian itu antara acara sambutan bersempena ulang tahun  ke-75 keputeraan baginda tahun ini. Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).


Tuanku Syed Sirajuddin turut menegur sikap segelintir imam di negeri ini yang masih ingkar arahan dan peraturan MAIPs supaya mengamalkan solat berpandukan ajaran Sunnah  Waljamaah.


Titah  baginda panduan tersebut telah disediakan oleh Jabatan Mufti Perlis iaitu sebuah badan yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan hukum-hukum Islam di Perlis.


“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Kalau ada imam yang masih ragu-ragu mengenai hal ini  mereka sepatutnya rujuk setiap permasalahan atau kekeliruan kepada Jabatan Mufti,” titah baginda.


Tuanku Syed Sirajuddin menasihatkan imam-imam berkenaan supaya tidak menjadikan amalan imam-imam masa lalu sebagai panduan.


“Sebaiknya sentiasa berbincang dengan Mufti agar setiap amalan berteraskan Al-Quran dan hadis dilaksanakan. Jika masih ada  imam-imam yang cenderung terhadap sesuatu ajaran, janganlah dibawa dalam masjid bagi mengelak menjadi ikutan jemaah,” titah baginda.


Masjid Al-Qufran dibina pada Ogos 2013 dengan kos RM7 juta di atas tapak yang diwakafkan beberapa penduduk tempatan bagi menggantikan masjid lama yang dibina pada awal tahun 60-an.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]