Perluasan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak dihentikan?

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mengesahkan dakwaan bahawa perluasan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di negara ini akan dihentikan.


Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman berkata, hal berkaitan falsafah kanak-kanak sepatutnya perlu ada sistem sendiri termasuklah latihan dan kepakaran daripada hakim dan pendakwa.


“Saya dengar yang peluasan mahkamah jenayah seksual kanak-kanak akan dihentikan. Adakah ini benar?


“Kanak-kanak mesti dilindungi oleh kerajaan dan pada masa sama, mana-mana orang yang bersalah mesti dihadapkan ke muka pengadilan tanpa mengira apa sahaja justifikasinya,” katanya ketika katanya berucap membahaskan titah Yang Dipertuan Agong, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak]


Pada masa sama, Azalina berharap kerajaan hari ini akan terus memberikan keutamaan kepada soal kanak-kanak dengan meneruskan semua polisi dan dasar baik yang telah dilaksanakan sejak pentadbiran kerajaan sebelum ini.


“Kerajaan sebelum ini telah memandang serius isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak di mana Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) telah digubal dan Mahkamah Khas bagi menangani masalah tersebut juga telah ditubuhkan.


“Saya sendiri telah bertanggungjawab terhadap penggubalan dan pembentangan akta ini di Parlimen, yang mendapat sokongan sebulat suara semua ahli Parlimen,” katanya.


Justeru, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak untuk memainkan peranan sebagai ‘watchdog’ yang bebas dan berkanun dalam memantau isu serta polisi melibatkan kanak-kanak.


“Saya pernah tegaskan beberapa kali sebelum ini dan saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tiada kompromi harus diberikan dalam sebarang bentuk terhadap penganiayaan terhadap kanak-kanak,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]