Rakyat Arab Saudi optimis capai visi 2030

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Rakyat Arab Saudi optimis untuk mencapai ‘Visi 2030’ yang diilhamkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, meskipun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu, kata penganalisis politik Khaled Almaeena.


Beliau berkata, Visi 2030 yang dilancarkan pada 25 April 2016, dirangka bagi mengurangkan kebergantungan Arab Saudi kepada minyak, mempelbagaikan ekonomi serta membangunkan sektor perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan, infrastruktur, rekreasi dan pelancongan.


“Putera Mahkota memainkan peranan besar dan aktif dalam menjadikan Arab Saudi sebuah negara moden berlandaskan Visi 2030.


“Melalui visi ini, tumpuan diberikan terhadap pemodenan Arab Saudi, bukannya membaratkan negara ini seperti digembar-gemburkan media antarabangsa,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program ‘Bernama Today’ pada Rabu.


Khaleed berkata belia Arab Saudi juga perlu memiliki jiwa profesionalisme, pengetahuan dan kekuatan bagi mencapai matlamat visi itu.


Mengulas implikasi keputusan Arab Saudi membenarkan kaum hawa memandu kereta, beliau berkata langkah itu membolehkan lebih 50 peratus graduan wanita di pelbagai universiti Arab Saudi bergerak bebas dan memainkan peranan dalam meningkatkan ekonomi di negara tersebut.


“Keputusan ini turut menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah dalam menggaji pemandu peribadi,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]