Remaja: 16% buli, 13% merokok, 7% seksual

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kajian Kementerian Kesihatan mendapati 16 peratus remaja negara ini  terlibat dalam buli, 13 peratus merokok, tujuh peratus tingkah laku seksual dan enam peratus cubaan bunuh diri.


Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dapatan itu adalah hasil kajian Adolescent Health Survey 2017 oleh kementeriannya melibatkan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun.


Secara tepatnya, kajian itu mendapati 16.2 peratus remaja pernah terlibat dalam masalah buli, 13.8 peratus remaja dalam kalangan umur sama didapati merokok, tingkah laku seksual (7.3 peratus) dan cubaan bunuh diri (6.8 peratus).


Dalam pada itu, kajian itu mendapati 10.8 peratus dalam kalangan remaja 12 hingga 13 tahun mengambil minuman beralkohol, katanya ketika menutup konvensyen Health Promotion in Learning Institutions (HePiLi) peringkat kebangsaan 2018 dan pelancaran program Tunas Doktor Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini.


“Ini sepatutnya menjadi peringatan untuk kita berdepan dengan cabaran seperti ini dengan pendekatan serius,” katanya, sambil menambah penganjuran aktiviti kesihatan seperti Tunas Doktor Muda dapat membantu kerajaan melahirkan masyarakat yang bertingkah laku sihat.


Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran sampel kajian tersebut.


Bercakap mengenai perkara lain, Dzulkefly berkata ibu bapa perlu bertindak memastikan anak-anak yang dijangkiti Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) tidak ke sekolah, sekaligus dikuarantin.


Beliau berkata, ia bagi mengelakkan penularan penyakit itu yang mudah merebak melalui sentuhan dan air liur.


“Jumlah kes HFMD yang merebak amat menakutkan tetapi kalau kita tangani perkara ini seperti melakukan ‘gate keeping at the point of entry’ (menghalang anak-anak yang dijangkiti)  ke sekolah, itu dapat menangani perkara ini dengan lebih berkesan,” katanya.


Wabak HFMD yang sebelum ini menular dalam kalangan pelajar sekolah di Pulau Pinang, Kedah dan Pahang dilaporkan mula merebak ke ibu kota apabila sebuah  kelas di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2 di sini diarah tutup dan kesemua 36 muridnya diberi cuti 10 hari selepas empat daripada mereka dijangkiti HFMD.


Mengikut rekod Kementerian Kesihatan, 35,886 kes kumulatif wabak itu direkodkan di seluruh negara dari 1 Jan hingga 23 Julai tahun ini.


Konvensyen HePiLi merupakan platform yang menggabungkan program promosi kesihatan melibatkan peringkat pendidikan awal kanak-kanak pra sekolah atau tabika melalui Program Tunas Doktor Muda, program Kelab Doktor Muda bagi sekolah rendah dan menengah serta Program Siswa Sihat (PROSIS) untuk institusi pengajian tinggi. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]