Sikap sambil lewa ibu bapa mengecewakan

in Uncategorized by


IPOH – Penglibatan ibu bapa di dalam program-program penting anjuran pihak sekolah sangat mengecewakan.


Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Perak, Datuk Rosli Yang Danian berkata, keadaan itu memperlihatkan sikap sambil lewa ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak.


Katanya, ibu bapa tidak seharusnya menganggap tugas menghantar anak ke sekolah sudah menyelesaikan masalah pendidikan anak mereka.


“Ibu bapa perlu ada kesedaran bahawa tanggungjawab mendidik ini tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru semata-mata di sekolah. Sebenarnya ia perlu dibantu oleh ibu bapa sebab masa pelajar di sekolah sedikit sahaja selebihnya di rumah.


“Bila sekolah ada program yang melibatkan tenaga kerja dan perbelanjaan yang besar, di sinilah peranan ibu bapa diperlukan,” katanya ketika menjadi tetamu Sinar Live bertajuk Halatuju Pendidikan Negara di Era Malaysia Baharu, semalam.


Rosli berkata, ibu bapa perlu datang ke sekolah melibatkan diri dalam aktiviti atau program anjuran pihak sekolah supaya mereka tahu perkembangan anak dan sekolah.


Katanya, sekurang-kurangnya ibu bapa perlu hadir untuk lima agenda anjuran sekolah iaitu pertama Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kerana dalam mesyuarat itu akan memutuskan tentang berapa sumbangan kepada sekolah.


Beliau berkata, kedua, ibu bapa perlu datang pada hari sukan untuk memberi sokongan kepada anak-anak dan ketiga hari bertemu waris yang akan tentang prestasi anak.


“Kemudian ibu bapa perlu hadir majlis solat perdana bagi peperiksaan utama untuk sama-sama berdoa anak nak periksa. Doa ibu dan ayah akan lebih diterima dan terakhir Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah.  


“Hari anugerah ini penting kerana kita beri peluang ibu bapa menyerahkan sendiri anugerah kepada anak mereka. Sekiranya ibu bapa tak datang, guru pula sebagai ganti menyampaikan hadiah itu, anak-anak akan rasa seolah dipinggirkan,” katanya.


Menurut Rosli, KPIBK yakin, sokongan penuh ibu bapa akan membantu pihak sekolah merancang pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak.


Katanya, paling penting adalah kerjasama antara ibu bapa, komuniti dan pihak sekolah demi masa depan pendidikan pelajar.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]