Tolak watak bersentuhan dengan lelaki: Mawar Rashid

in Hiburan by
Mawar Rashid

Tolak watak bersentuhan dengan lelaki: Mawar Rashid


BERKAHWIN pada usia muda bukan penghalang buat pelakon yang kini meningkat naik, Mawar Rashid untuk meneruskan karier seninya.


Menurut selebriti berusia 23 tahun ini, dia bertuah kerana suaminya, Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob, 33, begitu memahami dan tidak pernah menghalang minatnya untuk terus aktif.


“Berlakon memang minat saya dari kecil dan bila saya menyertai Dewi Remaja dan seterusnya bergiat aktif dalam bidang seni, saya memang gembira.


“Raf juga tahu perkara itu dan sebelum berkahwin lagi dia sudah beritahu tidak akan menghalang minat saya. Bahkan dia mendorong saya untuk ambil sahaja apa jua peluang yang datang.


“Walaupun sudah berkahwin, saya tetap ada komitmen pada kerjaya dan bisnes.


“Sejujurnya saya memang tak suka bergantung pada orang lain dan status suami bukan alasan untuk saya goyang kaki sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran Raisha 2, baru-baru ini.


Tambah anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, dia bagaimanapun hanya meletakkan had untuk tidak bersentuhan dalam mana-mana projek yang melibatkan dirinya.


“Saya tak kisah untuk bawa watak antagonis atau supporting sekali pun, cuma saya tidak mahu bersentuhan dan kalau produksi tak ingat pun, saya akan remind mereka.


“Bagi saya sebagai pelakon, kita tak perlu terhadkan diri kita untuk berlakon watak utama sahaja, tetapi saya berpegang pada, setiap watak itu penting dalam menyokong jalan cerita.


“Lagipun sebagai pelakon baharu, masih banyak lagi yang perlu saya belajar dan tidak semestinya bila saya sudah membawa watak utama, saya perlu kekalkan momentum itu,” jelasnya.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]