UEC: Abdul Aziz tidak setuju dengan Harussani

in Uncategorized by


IPOH – Isu bahasa tidak harus dipolitikkan dan dilihat sinonim dengan bangsa tertentu.


Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, malah dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ia tidak seharusnya dilihat sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.


Katanya, pengiktirafan UEC dibuat berdasarkan keperluan dan bukan soal isu bangsa Cina dan anti bahasa Melayu kerana di Perak sendiri terdapat sekolah Cina yang majoritinya pelajarnya berbangsa Melayu.


“Itu yang saya nampak soal perpaduan dan sebagainya yang disebut oleh Tan Sri Harussani itu saya kurang setujulah. Ertinya pejabat mufti tidak terlalu cepat untuk join the bandwagon.


“Kalau tidak berhati-hati nanti kita bimbang kedudukan itu akan disamakan atau dilihat sebagai mewakili pihak tertentu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.


Semalam, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dalam satu kenyataan kecewa dengan cadangan kerajaan untuk mengiktiraf UEC.


Beliau berkata, pengiktirafan itu akan membuka ruang cukup besar kepada kaum lain dengan menimbulkan semangat perkauman yang boleh merosakkan suasana harmoni di negara ini.


Dalam pada itu, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu semalam turut mengeluarkan kenyataan untuk mengadakan pertemuan bersama Harussani dalam masa terdekat menerangkan pendirian kerajaan berhubung cadangan mengiktiraf UEC itu.


Sementara itu, Abdul Aziz bersetuju dengan pandangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa isu bahasa harus dilihat sebagai alat komunikasi untuk memudahkan komunikasi.


“Kita tidak harus melihat isu ini sebagai sempit. Saya fikir jika bahasa rasmi negara sudah kukuh selama 60 tahun isu ini tak timbul dan saya rasa kita terlambat selepas 60 tahun masih melihat perspektif bahasa dalam konteks yang lama.


“Kita harus ke depan dengan suasana baru. Kita tidak mahu melihat menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Mandarin semuanya anti Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Abdul Aziz berkata, pengiktirafan UEC itu dibuat secara bersyarat dalam konteks tertentu dan tidak timbul soal mencabar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]