27 penghuni diraikan PBSMM Pahang

in Edisi by


TEMERLOH – Seramai 27 penghuni Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan Orang-Orang Istimewa Mentakab ceria selepas menerima kunjungan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Pahang semalam.


Dalam kunjungan itu juga, penghuni turut diraikan kakitangan McDonalds yang turut menaja makanan pada program tersebut selain kehadiran kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Temerloh dan Lions Club Jerantut Jaya.


Pengerusi Jawatankuasa Kecil, Derma Darah dan Khidmat Masyarakat PBSMM Pahang,K.Kharthigeyan berkata,program berkala itu antara khidmat sosial yang dijalankan oleh persatuan tersebut.


Menurutnya, selain di pusat terbabit,empat lagi rumah jagaan di daerah ini di Taman Harapan Temerloh,Sinar Suria,Pusat Penjagaan Anak Yatim dan Pusat Penjagaan Kampung Baru turut menerima kunjungan mereka.


“Selain daerah ini, kita juga menganjurkan program sama di daerah-daerah lain.Ia antara aktiviti yang dijalankan oleh persatuan ini selain mengenal pasti keperluan oleh pusat-pusat terbabit.


“Selain itu kita turut menjalinkan kerjasama JKM Daerah untuk program-program sebegini,” katanya lagi.


Persatuan itu sudah wujud kira-kira 50 tahun lalu dan ahlinya mencecah 10,000 orang setakat ini.


Selain suai kenal,pemberian makanan dan hamper turut disumbangkan kepada pusat jagaan terbabit.


Sementara itu,Pengurus Pusat,G.Sita memberitahu,pusat tersebut memiliki 15 penghuni lelaki dan 12 wanita berusia 25 hingga 60 tahun yang mengalami masalah pembelajaran.


Menurutnya,selain bergantung dengan dana yang diagihkan oleh JKM,sumbangan individu dan beberapa pihak membantu mereka dalam pengendalian pusat itu yang memerlukan kira-kira RM15,000 sebulan.


Mula dibuka sejak 2000,pusat itu juga menawarkan khidmat jagaan harian dan beroperasi setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]