Jayakumar nafi kerajaan setuju bayar Splash RM1.9b

in Nasional by


PUTRAJAYA – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli  Xavier Jayakumar mengetepikan laporan media asing yang menyebut bahawa kerajaan pusat sedia membayar RM1.9 biliion bagi mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (Splash).


Jayakumar berkata, akhbar Straits Times Singapura telah memetik percakapan beliau mengenai urusan itu tetapi “Saya tidak pernah menyatakan tentang kuantum.”


Beliau berkata, rundingan antara Air Selangor dan Splash masih berjalan.


“Apabila mereka sudah ada kesepakatan mengenai soal itu, mereka akan membentangkannya kepada saya,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak mengetahui tentang harga penawaran kedua-dua pihak terbabit.


“Rundingan sedang berlangsung dan saya menetapkan 10 Ogos sebagai tarikh akhir untuk mereka menamatkan rundingan”, katanya ketika ditanya pemberita tentang laporan akhbar itu selepas menghadiri sambutan ulang tahun Hari Tanah Kebangsaan 2018 di sini hari ini.


Akhbar Singapura itu memuatkan laporan kononnya satu perjanjian pembiayaan bersama  telah dicapai dan jumlah pembelian ditetapkan antara RM2.5 bilion dan RM2.7 bilion, dan kerajaan Selangor di jangka  membayar antara RM600 juta dan RM800 juta.


Dalam perkembangan lain Jayakumar yang juga Naib Presiden PKR berkata, hasrat Rafizi Ramli bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti akan datang pada Ogos tidak akan menggugat kestabilan parti.


“Sesiapa sahaja boleh bertanding jawatan dalam parti,” katanya sebagai menjawab pertanyaan tentang hasrat Naib Presiden PKR itu untuk bertanding timbalan presiden memandangkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyandang jawatan itu belum mengumumkan keputusannya.


Tentang hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi presiden parti dan sama ada beliau tidak akan dicabar, Jayakumar berkata: “Parti akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap Anwar dan apa sahaja boleh terjadi.” – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]