Kerajaan kaji perkenal konsep pelupusan ruang udara

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan konsep pelupusan ruang udara (spatium) supaya hakmilik ruang dapat dikeluarkan bagi tujuan pembangunan bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Beliau berkata, ia adalah antara langkah kerajaan meneruskan kajian dan menggubal perundangan yang selaras dengan hasrat pembangunan negara ke arah pengurusan dan pentadbiran tanah yang lebih cekap dan berkesan.


Spatium adalah konsep bagi mewujudkan pembangunan bertindih di atas pembangunan sedia ada dan pewujudan pemilikan berlapis dengan lot isipadu di bawah dan di atas permukaan tanah, bertujuan memenuhi keperluan permintaan tanah yang semakin tinggi.


“Masih banyak lagi cabang pentadbiran tanah yang boleh diteroka untuk menambah baik perkhidmatan,” kata Dr Wan Azizah ketika berucap pada sambutan Hari Tanah Negara di sini hari ini. Turut hadir Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.


Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga berhasrat memperkenalkan satu bentuk dokumen hakmilik tanah elektronik dan mewujudkan skim pajakan persendirian untuk membuka lebih banyak potensi pembangunan tanah.


“Kita juga sedang mengkaji pindaan ke atas Akta Hakmilik Strata bagi membolehkan pelaksanaan peremajaan bandar (urban rejuvenation). Ia adalah untuk menyelesaikan isu urban decay di bandar-bandar yang berusia seperti di Kuala Lumpur, Ipoh dan Georgetown,” katanya.


Beliau berkata, memandangkan kadar urbanisasi meningkat kepada kira-kira 75 peratus sejak 70-an, maka pentadbiran tanah perlu bersedia bagi menampung peningkatan penduduk terutama di bandar-bandar.


Beliau turut menekankan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan bagi tanah bernilai warisan negara dalam keghairahan mengejar pembangunan negara.


“Warisan negara seperti Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur, Tanjung Bungah dan Batu Ferringhi di Pulau Pinang dan Kampung Portugis di Melaka dapat dikekalkan untuk warisan akan datang.


“Oleh itu, saya menggesa semua pihak yang terlibat supaya undang-undang dipinda bagi memperkenalkan Rizab Kekal Negara,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]