Lebih 20 NGO desak Ramasamy letak jawatan

in Nasional by


GEORGETOWN – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor P Ramasamy didesak supaya meletakkan jawatan demi memastikan keamanan dan keselamatan negara.


Aktivis Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Mohd Yusuf Azmi berkata, beliau tidak mahu mana-mana kepimpinan tertinggi dalam negeri mahupun negara terlibat dengan pertubuhan pengganas.


“Kita telah berbincang dengan kepimpinan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) di Pulau Pinang dan seluruh negara. Kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera.


“Ia kerana penglibatan Ramasamy dengan LTTE (kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam) yang diisytiharkan lebih 30 negara yang mana penglibatan dengan keganasan pembunuhan kanak-kanak, presiden Sri Lanka dan perdana menteri India sekitar 90-an.


“Himpunan ini dianjurkan adalah untuk perpaduan, bukan mencetuskan sebarang provokasi dan tidak ada penglibatan dengan mana-mana parti politik,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas mewakili lebih 300 orang daripada 20 NGO Islam menyerahkan memorandum kepada wakil Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar, hari ini.


Menurutnya, desakan itu adalah sebagai usaha mahu menjaga dan mengekalkan keamanan negara yang telah diperoleh sejak lebih 60 tahun lalu.


“Kita rasa seorang kepimpinan dalam parti politik yang telah menjawat jawatan tinggi sebagai Timbalan Ketua Menteri II secara jelas melibatkan diri dengan LTTE sejak 2003 lagi.


“Kita rasa kalau beliau ada banyak masa yang lebih untuk melibatkan dengan keganasan di luar negara,  lebih baik beliau campur urusan di India. Ini bukanlah untuk mencetuskan isu perkauman.


“Kita hidup dalam masyarakat majmuk yang cukup baik dan harmoni. Jangan disebabkan satu individu menyebabkan tercetusnya sentimen ataupun anasir tidak baik dalam perkauman mahupun agama.


“Saya harap pihak media jangan alih isu ini. Apa yang saya katakan adalah fakta kerana melibatkan keselamatan negara. Kita kena sedia maklum ini adalah Pulau Pinang,” katanya.


Beliau berkata, kebimbangannya itu adalah kerana insiden yang berlaku di Sri Lanka juga merupakan sebuah lokasi di kepulauan.


“Amat mudah untuk mereka menyelinap masuk dan keharmonian yang kita bina selama ini saya rasa mungkin tidak dapat dilihat lagi,” katanya.


Mengulas lanjut mengenai isi kandungan memorandum itu, ia turut menggesa campur tangan kerajaan negeri dalam isu tersebut.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]