Lelaki ditemui lemas di pantai Batu Burok

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- Keseronokan seorang pemuda mandi bersama tiga lagi rakan sekerjanya di Pantai Batu Burok, di sini, berakhir tragedi apabila dia lemas dipercayai ditarik ombak, petang tadi.


Mayat mangsa, Mohamad Shamin Ashraf Rahim Raja, 25, dari Ayer Hitam, Pulau Pinang ditemui oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu kira-kira 100 kaki dari lokasi dia dipercayai lemas pada jam 5.15 petang.


Ketua Operasi dan Menyelamat, Pegawai Bomba Kanan 11, Abd Ghani Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.01 petang.


Jelasnya, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian iaitu di belakang bangunan medan selera Mayang Village berhampiran Batu Burok Beach Resort.


“Setibanya di lokasi, kira-kira jam 5.11 petang, anggota bertugas terus menjalankan pencarian dan menemui mangsa kira-kira lima minit kemudian.


“Keadaan cuaca ketika itu agak baik serta ombak dalam keadaan tenang, jadi punca cuaca baik memainkan peranan mempercepatkan usaha mencari mangsa.


“Bagaimanapun, anggota paramedik yang turut berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sejurus ditemui” katanya ketika dihubungi.


Abd Ghani berkata, hasil temubual dengan tiga lagi rakan mangsa yang selamat, mereka memaklumkan mandi di lokasi kira-kira jam 4.40 petang.


“Kesemua mangsa yang bekerja di sebuah syarikat insurans memberitahu datang ke Terengganu atas urusan kerja dan sejurus selesai tugas, mereka mengambil keputusan untuk mandi manda di pantai terbabit.


“Semasa asyik mandi itu, mereka ternampak arwah terkapai-kapai meminta tolong sebelum salah seorang daripada mereka cuba membantu tetapi gagal disebabkan situasi yang panik,” katanya.


Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]