Mat rempit kena tazkirah

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Sebagai ikhtiar untuk memberi keinsafan, seramai 79 daripada 115 mat rempit yang ditahan pada Ops Bersepadu Samseng Jalanan Daerah Kemaman kerana berlumba secara haram di jalan raya dibawa ke Masjid Sultan Ahmad, Chukai untuk solat Subuh berjemaah dan diberikan tazkirah, hari ini.


Kesemua ‘samseng jalanan’ itu diberikan tazkirah oleh imam masjid berkenaan dan mereka juga turut membaca surah Yasin beramai-ramai.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mat rempit itu dibawa ke masjid sebagai pendekatan kerohanian agar mereka berubah dan tidak terus menjadi ‘barah’ dalam masyarakat.


“Ini adalah satu pendekatan baharu dilakukan dalam mendidik dan memberi kesedaran berkenaan bahayanya kegiatan yang dilakukan oleh golongan tersebut selain menimbulkan rasa takut dan tidak senang kepada orang ramai.


“Selepas membaca surah Yasin, kesemua mereka telah diberikan sedikit tazkirah oleh imam yang bertugas sebagai memberikan kesedaran dan membuka minda supaya tidak melakukan aktiviti sedemikian pada masa yang akan datang,” katanya.


Mohd Said berkata, kesemua mat rempit yang ditahan terdahulunya telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk diambil keterangan dan proses dokumentasi sebelum 79 mat rempit beragama Islam dibawa ke masjid.


Katanya, operasi yang bermula jam 11 malam tadi dan berakhir jam 8 pagi, hari ini dibuat berikutan aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan kumpulan mat rempit itu yang menjadikan jalan raya sebagai litar lumba haram sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna jalan raya.


Katanya, seramai lapan pegawai dan 33 orang anggota polis terlibat dalam operasi tersebut yang menyasarkan laluan sepanjang Jalan Chukai-Air Putih yang menjadi lokasi utama untuk golongan tersebut berlumba dan melakukan aksi merbahaya.


“Mat rempit yang ditahan majoritinya terdiri daripada pelajar sekolah dan kolej. Mereka jadikan Khamis sebagai hari untuk berkumpul bersama rakan-rakan sebelum melakukan aksi merbahaya dan berlumba.


“Daripada 115 penunggang motosikal yang ditahan, 79 adalah Melayu dan 36 orang berbangsa Cina yang kesemua mereka berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun,” katanya.


Katanya, secara keseluruhannya, sepanjang operasi itu polis memeriksa sebanyak 90 buah motosikal dan sebanyak 135 saman dikeluarkan.


“Daripada jumlah saman dikeluarkan itu, 20 kesalahan disebabkan tiada lesen memandu, 12 kesalahan cukai jalan tamat tempoh, 14 kesalahan nombor pendaftaran, dua kes tiada cermin padang belakang dan 87 lain-lain kesalahan.


“Kita turut menyita 45 buah motosikal kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk membuat pengubahsuaian tidak menepati spesifikasi yang dibenarkan dan pada masa sama kita turut menangkap tiga penunggang motosikal yang didapati positif dadah hasil ujian air kencing yang dilakukan,” katanya.


Mohd Said berkata, dua daripada suspek yang berumur 17 dan 19 tahun didapati positif methamphetamine sementara seorang lagi suspek yang berusia 18 tahun positif benzodiazipeni.


Susulan itu, beliau turut mengingatkan kepada ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka pada waktu malam agar tidak terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah dan berlumba motor secara haram.


Katanya, pemilik motosikal terutama ibu bapa yang membiarkan motosikal mereka digunakan penunggang atau anak-anak yang tidak mempunyai lesen juga berdepan dengan dengan tindakan tegas.


“Operasi ini akan diadakan secara berterusan supaya mereka sedar seterusnya membendung kes lumba haram sebegini daripada terus berlaku,” katanya


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]