'Mengapa perkhidmatan diberhentikan?'

in Edisi by


MANJUNG – Notis penutupan sementara perkhidmatan bas Rapid Manjung bermula 1 Ogos membimbangkan kebanyakkan pengguna selepas terdapat desas-desus mendakwa ianya bakal ditamatkan selepas itu.


Bagi penduduk, ketiadaan bas Rapid Manjung yang mula dibuka laluannya Mac lalu bakal menyukarkan urusan harian mereka lebih-lebih lagi untuk anak mereka ke sekolah, ke hospital serta ke pejabat-pejabat dan agensi kerajaan.


Penduduk S. Lilawathi, 69, yang tinggal di Seri Manjung berkata kemudahan yang disediakan kerajaan dengan membawa masuk bas Rapid ke Manjung memudahkan urusan dia dan suaminya M. Muniandy, 71, ke Hospital Manjung bagi menerima rawatan.


“Kami sudah senang bila ada bas Rapid dan seronok menggunakannya, tetapi tiba-tiba saya dengar orang cakap bulan lapan ini bas sudah tidak beroperasi kerana ditamatkan perkhidmatan sebentar.


“Saya jadi bingung fikir, apa sudah jadi, kenapa mereka tutup dan apa mereka tidak fikirkan bagaimana nasib kami yang sering menggunakan bas tesebut untuk bergerak kalau tutup,” katanya ketika ditemui pemberita di Stesen Bas Seri Manjung, semalam.


Katanya lagi, dia dan suami terpaksa menaiki bas untuk bergerak ke mana sahaja kerana anak mereka tinggal berjauhan seperti di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.


“Saya harap mereka lihat kembali agar tidak menutup operasi bas Rapid yang menjadi pengangkutan utama kami di Manjung berbanding bas lain kerana terpaksa menunggu lama.


“Sayang jika bas ini tutup kerana ia amat selesa lebih-lebih lagi untuk kami warga emas dan saya minta Menteri Besar Perak yang baharu bantu kami,” katanya.


Bagi Muniandy pula, dia terpaksa menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana sahaja bersama isterinya kerana tidak tahu menunggang motosikal selain faktor kesihatan.


“Kalau tutup perkhidmatan bas ini kami terpaksa bersusah seperti dahulu di mana pergi hospital dapat rawatan kemudian pulang perlu tunggu bas dua ke tiga jam hingga ada satu hari isteri saya sakit hingga tertidur di stesen bas.


“Bila ada Rapid ia mudahkan kami untuk ke hospital serta pulang kerumah tanpa perlu khuatir menunggu lama mahupun membayar tambang teksi yang begitu mahal,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]