Pemilihan PKR Kelantan luar jangkaan

in Edisi by


KOTA BHARU – Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir menang tanpa bertanding bagi  jawatan Ketua Cabang Ketereh dalam pemilihan peringkat negeri di sini, hari ini.


Pada hari pencalonan yang bermula jam 10 pagi hingga 8.00 malam itu menyaksikan jawatan tersebut tidak dicabar oleh calon lain, bagaimanapun untuk Timbalan berdepan saingan.


Dengan kemenangan tersebut sekaligus beliau berjaya mengekalkan jawatan yang disandangnya untuk tiga penggal berturut-turut ataupun  12 tahun tempoh berkhidmat.


Turut menang tanpa bertanding adalah di cabang Kota Bharu apabila calon tunggalnya, Zinda Khalil Hasan tidak berdepan pencabar.


Penyandangnya, Abu Samah Hassan tidak mempertahankan jawatan berkenaan pada pemilihan kali ini.


Tempoh pencalonan yang dijadualkan tamat jam 6.30 petang terpaksa dilanjutkan sehingga jam 8.00 malam difahamkan berikutan sambutan luar biasa kali ini.


Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa berkata, sebanyak 756 jawatan melibatkan Ketua Cabang, Timbalan, Naib, Pemuda dan Wanita dipertandingkan.


Menurutnya, berikutan kemenangan besar PH pada PRU14 lalu, pihaknya melihat sambutan luar biasa dengan sekurang-kurangnya 2,000 pencalonan diterima.


“Bermula 1 Ogos selama tiga hari bantahan boleh dibuat sebelum senarai nama yang layak bertanding akan diumumkan nanti,” katanya kepada media ditemui di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri di Lundang.


Beliau yang juga bertanding untuk jawatan Naib Ketua Cabang Ketereh itu memberitahu,  pertandingan kali ini juga amat menarik dengan  beberapa cabang terdapat pertandingan lebih dari dua penjuru.


“Di Bachok  berdepan dengan tiga penjuru, Pasir Puteh pun tiga penjuru. Hampir semua cabang bertanding dengan mempertaruhkan pelbagai peringkat tokoh kepimpinan,” katanya.


Dalam masa sama beliau mengulangi nasihat kepada semua calon yang bertanding agar bersikap matang sepanjang sebulan tempoh berkempen nanti bagi mengelak perpecahan dalaman.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]