Siar semula lagu patriotisme Ogos ini: Gobind

in Nasional by


PUTRAJAYA- Kerajaan akan menyiarkan semua lagu patriotisme termasuk era 90-an, sepanjang Ogos ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan untuk berbuat demikian.


“Ini adalah bulan penting untuk kita semua untuk meningkatkan semangat kenegaraan, jadi kita akan mainkan lagu- lagu patriotik dari masa dahulu,” katanya.


Menurutnya, ia akan disiarkan menerusi saluran media rasmi kerajaan.


“Tiada masalah. Ia akan siarkan di media – media yang kita ada,” katanya pada sidang media sempena Hari Kebangsaan 2018.


Pada majlis itu, Gobind turut mengumumkan logo dan lagu rasmi Bulan Kebangsaan yang dipilih kerajaan.


Logo rasmi ciptaan Nik Zulkifli Nik Hitam yang menggambarkan rakyat melakukan gerakan riang dan mengangkat tangan dengan sebentuk hati di hadapan yang menyatukan mereka.


“Ia bermaksud rakyat pelbagai kaum hidup dalam kepelbagaian, harmoni, seia sekata dan terpahat perasan kasih sayang kepada negara,” katanya yang menerima 632 penyertaan logo.


Beliau berkata,  lagu tema Kita Punya Malaysia ciptaan Sam Bunkface dan dinyanyikan oleh Bunkface menggambarkan Malaysia milik rakyat.


“Lagu ini agak berbeza dari sebelumnya kerana ia berirama pop dan agak cache dengan kerajaan,” katanya.


Gobind berkata, pemilihan Putrajaya sebagai lokasi kemuncak sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos adalah sebagai signifikan kepada Pakatan Harapan yang meraih kejayaan dalam PRU 14.


“Putrajaya jadi signifikan kepada kita kerana ini adalah tapak pemerintahan.  Kita meraikan kerajaan baharu,” katanya.


Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang akan diadakan di Padang Kota lama, Pulau Pinang pada 3 dan 5 Ogos ini dengan pelbagai pengisian.


Ia akan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  jam 8 malam pada  4 Ogos.


Bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan, Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang akan menjelajah seluruh negara bermula di Pulau Pinang dan berakhir semasa perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.


“Saya menyeru agar semua rakyat bersama-sama menunjukkan semangat patriotik kepada negara dengan mengibarkan jalur gemilang,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]