Sorok dadah dalam kotak rokok elak dicekup

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- Taktik seorang lelaki menyorokkan dadah dalam kotak rokok gagal memperdaya pasukan polis yang melakukan serbuan di kawasan kandang lembu di Kampung Gong Nangka, Kuala Ibai, di sini, awal pagi semalam.


Berikutan itu, polis menahan lelaki berusia 31 tahun dari Flat Desa Chendering, di sini, selain merampas dadah jenis pil kuda dan syabu yang bernilai hampir RM1,000 mengikut harga pasaran semasa.


Menurut sumber, sepasukan anggota Tugas Khas Balai Polis Kuala Terengganu menyerbu lokasi sebelum menahan suspek yang sedang duduk di atas wakaf di kawasan berkenaan, kira-kira jam 3 pagi.


Sumber berkata, sejurus menyedari kehadiran polis, suspek tergamam seketika akibat terlalu terkejut kerana tidak menyangka lokasi tersebut diserbu.


“Suspek kononnya menganggap kawasan yang dikelilingi kandang lembu itu ‘port’ selamat untuk menjalankan sebarang aktiviti tidak sihat sebelum ini.


“Disebabkan itulah, lelaki yang masih bujang itu tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya menyerah diri sejurus menyedari lokasi tersebut diserbu kerana terlalu terkejut,” katanya ketika dihubungi.


Sumber berkata, pemeriksaan ditubuh badan suspek tidak menemui sebarang barang salah sebelum pemeriksaan di sekitar kawasan itu menjumpai sekotak rokok bertulis ‘Gudang Garam’ yang diletakkan di atas wakaf berkenaan.


“Curiga dengan kotak rokok itu, anggota terlibat terus membuat pemeriksaan sebelum mendapati di dalam kotak itu mengandungi satu plastik kecil yang didalamnya terdapat ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu.


“Selain itu juga, turut dijumpai tiga tiub straw mengandungi pil kuda sebelum kesemuanya dirampas dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.


Kata sumber, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.


Sementara itu, di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini, suspek dibenarkan direman selama empat hari untuk siasatan dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Bagi kesalahan itu, suspek boleh dihukum maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.


Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistert Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]