Warga Gaza bernafas semula

in Global by


RAMALLAH – PALESTIN. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambut baik cadangan Lembaga Bank Dunia menambah peruntukan sebanyak AS$90 juta kepada Palestin, khususnya di Genting Gaza.


Penyelaras Khas PBB untuk Proses Damai Timur Tengah, Nikolay Mladenov berkata, Genting Gaza yang menjadi wilayah kepungan Israel kini di ambang keruntuhan ekonomi dan sosial.


Mladenov menegaskan bahawa separuh daripada penduduk Gaza menganggur dan perkhidmatan asas di wilayah itu terjejas.


“Dengan tambahan peruntukan ini bertepatan dengan keadaan kritikal ketika ini untuk menangani konflik baharu, sekali gus meningkatkan peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.


Awal minggu ini, Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin PBB (UNRWA) menggantung kontrak hampir 1,000 kakitangannya, termasuk menghapuskan 250 pekerjaan di wilayah Palestin selepas Amerika Syarikat memotong peruntukan kepadanya.


Susulan keputusan itu, rata-rata kakitangan berhimpun di hadapan ibu pejabat UNRWA di Gaza sebagai membantah tindakan berkenaan.


Januari lalu, Jabatan Negara AS mengumumkan Washington memotong peruntukan bantuan sebanyak AS$65 juta kepada Palestin menerusi UNRWA. – Agensi


Source: SH Global

[featured-video-plus]