330,000 penerima BR1M di Johor layak terima air percuma

in Edisi by


JOHOR BAHRU – Seramai 330,000 penerima Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) di negeri ini secara automatiknya layak mendapat bantuan air percuma 10 meter padu atau RM8 sebulan yang akan bermula pada 1 September depan.


Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, skim bantuan untuk golongan B40 itu adalah membabitkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM 31.68 juta setahun.


Menurutnya, terdapat dua kategori yang mana kategori pertama iaitu penerima BR1M itu yang mana alamat dan akaun air SAJ adalah sama.


“Kita telah membuat janji untuk memberi air percuma 10 meter padu kepada golongan B40 yang mana mereka adalah penerima BR1M dan pendapatan isi rumah adalah kurang daripada RM4,000.


“Setelah kita fikir banyak mekanisme, kita telah putuskan untuk guna BR1M sebagai garis panduan sebab kita memang sudah ada datanya,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Paragon Market Place, di sini, hari ini.


Jimmy berkata, bagaimanapun, bagi penerima BR1M yang mana alamat atau akaun air SAJ tidak sama juga masih layak menerima skim bantuan berkenaan dan termasuk dalam kategori kedua.


“Contohnya, penerima BR1M yang menyewa rumah tetapi akaun air SAJ adalah atas nama pemilik rumah yang disewa. Ini disebabkan kebanyakan golongan sasaran (B40) menyewa rumah. Kita tidak mahu abaikan mereka, sebab merekalah golongan yang mahu kita tolong,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]