Bulan berdarah, Marikh dekat dengan bumi

in Global by


PARIS – PERANCIS. Penduduk di seluruh dunia tidak melepaskan peluang melihat fenomena ‘bulan berdarah’ terpanjang pada abad ke-21 yang berlangsung selama sejam 42 minit dan 57 saat, semalam.


Gerhana bulan itu dapat disaksikan di Eropah, Timur Tengah, Afrika, Australia, sebahagian besar Asia dan Amerika Selatan.


Tidak seperti gerhana matahari, orang ramai tidak memerlukan alatan perlindungan mata untuk menyaksikan fenomena jarang berlaku itu.


Ketika gerhana bulan tersebut, planet Marikh turut berada dekat dengan bulan dan ia dapat dilihat dengan mata kasar.


Planet merah itu kelihatan lebih besar dan terang pada jarak 57.7 juta kilometer dari bumi pada orbit elips mengelilingi matahari.


Sementara itu, Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (Nasa) menolak khabar angin di media sosial kononnya Marikh akan kelihatan sama seperti saiz bulan ketika fenomena gerhana itu berlaku.


“Jika itu berlaku, kita akan berdepan masalah yang besar kerana tarikan graviti di bumi, Marikh dan bulan!” jelas Nasa menerusi laman web rasmi mereka.


Sebaliknya, planet merah itu hanya muncul sebagai bintang yang sangat terang. – Agensi


Source: SH Global

[featured-video-plus]