Curi air: Tapak pembinaan di Felda Serting diserbu

in Edisi by


JEMPOL – Sebuah lokasi tapak pembinaan di Felda Serting 2, Bandar Seri Jempol di sini, diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) Isnin lalu, kerana membuat penyambungan air secara haram.


Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, dalam serbuan diketuai Pegawai Span, Mohd Shariff Abd Rahman kira-kira jam 11.30 pagi, mendapati kontraktor pembinaan telah membuat penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis High Density Polyethlene (HDPE) bersaiz 25mm.


“Pegawai penguatkuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di premis berkenaan dan terbukti bekalan air yang digunakan untuk membancuh simen adalah air terawat milik Sains.


“Sebagai tindakan, Span telah menyita paip digunakan sebagai bahan bukti dan mengeluarkan notis makluman. Jumlah kerugian terpaksa ditanggung Sains dianggarkan RM13,000.” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 memperuntukkan denda sebanyak RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kakitangan Sains membuat pemeriksaan paip yang digunakan.


Beliau berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes yang melibatkan pengguna komersial mahupun domestik.


“Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau Non Revenue Water (NRW),” katanya.


“Pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kegiatan kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 dan maklumat pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]