'FAP tidak pernah lupa hutang'

in Sukan by


PERSATUAN Bolasepak Pulau Pinang (FAP) faham dan akur dengan keputusan pihaknya dikehendaki melunaskan tunggakan gaji lapan pemain bernilai kira-kira RM377,000.00 dalam tempoh 30 hari.


Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2017-2021 pada 25 Julai 2018 memutuskan jika FAP gagal membayar dari tarikh penerimaan keputusan ini, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.


Naib Presidennya, Mohd Azizuddin Mohd Shariff berkata, FAP tidak pernah melupakan segalanya hutang mereka terutamanya kepada  bekas pemain skuad pada 2017.


Menurutnya, persatuan itu juga turut menanggung hutang pemain sedia ada pada musim 2018 termasuk pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.


“Alhamdulillah kami kekal di saingan Liga Perdana dalam keadaan pengurusan begitu tenat dari segi kewangan pada musim ini.


“Mengenai keputusan Jawatankuasa Status FAM, kita faham dan akur namun buat masa ni kita masih lagi tidak ada sumber kewangan untuk menyelesaikan segala apa yang diarahkan oleh FAM,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.


Mohd Azizuddin berkata, pihaknya sedang menanti keputusan perbincangan dengan kerajaan Pulau Pinang untuk membantu FAP dan berharap akan memperoleh keputusan positif.


Jelasnya, beliau tidak pasti apa hukuman yang akan dijatuhkan oleh FAM jika pihaknya gagal melunaskan jumlah hutang tersebut dalam tempoh sebulan ini.


“Kami akan cuba untuk terus merayu kepada FAM jika gagal menjelaskannya dalam tempoh yang ditetapkan namun pada waktu yang sama akan tetap berusaha untuk membayar hutang tersebut,” katanya.


INFO


Tuntutan dikemukakan oleh 8 pemain terhadap Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) berhubung tunggakan gaji seperti jumlah dinyatakan di bawah:


i) Mafry Bin Balang (RM76,000)


ii) Muhamad Faizat Bin Mohamad Ghazli (RM48,000)


iii) Sani Anuar Bin Kamsani (RM80,000)


iv) Muhammad Rafiuddin Bin Roddin (RM60,000)


v) Reuben Thayaparan Kathirupillai (RM40,000)


vi) Muhammad Jafri Bin Muhammad Firdaus Chew (RM28,000)


vii) Shazalee Ramlee (RM25,000)


viii) Syed Adney Bin Syed Hussein (RM20,000)


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]