Guna logo halal tanpa kelulusan

in Uncategorized by


IPOH – Sebuah kilang makanan ringan di Chemor di sini, bakal dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta gara-gara mengunakan logo halal tanpa kelulusan pada bungkusan makanannya.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, hasil pemeriksaan awal yang dijalankan pada 10 Julai lalu mendapati produk kacang tanah dan makanan ringan toy pack yang dikeluarkan kilang itu menggunakan logo halal tanpa kelulusan.


Katanya, kilang yang memasarkan produk berkenaan kepada pemborong sekitar Perak dan Selangor itu pernah memiliki sijil pengesahan halal pada 2014 tetapi tamat pada April 2016.


“Sehubungan itu, pihak KPDNHEP telah menyita 479 unit toy pack yang telah siap dibungkus, 445 unit toy pack yang belum dibungkus dan 59 unit kacang tanah goreng untuk siasatan lanjut.


“Nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan sebanyak RM1,198, dan setakat ini tiada tangkapan dibuat hanya merakam percakapan seorang lelaki berumur 45 yang mengaku sebagai pengurus kilang,” katanya dalam sidang media di Pejabat KPDNHEP Perak, semalam.


Katanya, kes ini disiasat di bawah dua kesalahan iaitu pertama di bawah Perenggan Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang bertentangan dengan perenggan 4 (1) Perintah yang sama.


Katanya kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011.


Beliau berkata, bagi kesalahan itu, sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala RM100,000 jika bukan pertubuhan perbadanan.


Shamsul Nizam berkata, bagi kesalahan kedua pula disiasat di bawah Seksyen 16, Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 bagi pertubuhan perbadanan dan boleh didenda tidak melebihi RM 1 juta bagi kesalahan kedua.


“Jika bukan pertubuhan perbadanan, mereka boleh didena tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Menurut Shamsul Nizam, pihaknya memandang serius terhadap peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal yang bukan Halal Jakim.


Katanya, peniaga juga diingatkan supaya tidak menggunakan logo halal yang diperakui tanpa kelulusan mana-mana pihak berwibawa.


“Peniaga perlu tahu akan kesalahan yang melibatkan makanan, barangan dan perkhidmatan serta penggunaan logo halal atau apa-apa representasi yang menunjukkan bahawa makanan atau barang-barang yang boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam.


“KPDNHEP akan mempergiat usaha untuk melindungi pengguna dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat premis-premis perniagaan yang menggunakan perakuan halal yang tidak diperakui pihak berwibawa dalam meningkatkan keyakinan pengguna terutama orang Islam terhadap barang-barang atau perkhidmatan halal,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]