Had umur minimum perkahwinan perlu diselaras

in Nasional by


KOTA BHARU – Had umur perkahwinan bagi lelaki dan wanita perlu di selaraskan bagi setiap negeri bagi menangani masalah perkahwinan di bawah umur, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.


Sehubungan, itu pihak kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan semua exco yang berkaitan di setiap negeri bagi menetapkan had umur perkahwin.


“Had umur ini perlu dilaksanakan di setiap negeri dan bukan di Kelantan sahaja.


“Andai kata ada tiga negeri yang tidak laksanakan had umur ini, orang ramai akan ke negeri tersebut untuk berkahwin (dengan kanak-kanak) bawah umur. Jadi semua negeri perlu laksanakan had ini agar perkara ini tidak berlaku,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) 2018 dan Pelancaran Logo Baharu Sempena Penjenamaan Semula YOKUK di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan di Pengkalan Chepa di sini hari ini.


Turut hadir adalah pengasas YOKUK Datuk Zaid Ibrahim dan Pengarah Eksekutif YOKUK Datin Suliana Shamsuddin .


Hannah berkata masalah perkahwinan bawah umur bukan sahaja melibatkan anggota Parlimen malah menteri besar dan ketua menteri di setiap negeri kerana ia membabitkan isu kebajikan kanak-kanak.


“Berdasarkan statistik terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dalam masa 10 tahun di antara 2007 hingga 2017 perkahwinan bawah umur masyarakat Islam mencecah 10,000 kes dan bukan Islam sebanyak 4,999 kes.


“Berkaitan kes perkahwinan ( kanak-kanak perempuan 11 tahun dan pasangannya berusia 41 tahun) yang berlaku baru-baru ini di negeri ini, perkara itu masih dalam siasatan dan keputusannya akan diumumkan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) semasa sidang Parlimen minggu depan,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]