
GEOREGTOWN – Harga perumahan mampu milik di Pulau Pinang akan terus kekal walaupun kerajaan mengumumkan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak lama lagi.
Exco Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, pemaju berkaitan telah diberi banyak insentif untuk memastikan tiada kenaikan harga rumah berlaku.
“Maaf saya cakap, pemaju selalu fikir keuntungan. Kalau kita tak bayar insentif, mereka tak akan buat rumah mampu milik.
“Saya nak tegaskan harga rumah tak naik sebab semua pemaju swasta telah diberi banyak insentif.
“Kita kawal harga rumah. Dalam garis panduan rumah mampu milik 100 peratus tiada kenaikan harga,” katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, setiap pemaju mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan sebelum boleh menikmati insentif yang diberikan.
“Kita dah tetapkan harga rumah di kawasan pulau mesti tidak melebih RM300,000 dan di kawasan Seberang Perai tidak lebih RM250,000.
“Pada waktu ada GST (cukai barangan dan perkhidmatan) pun kita boleh kekalkan harga rumah.
“Apatah lagi dengan pelaksanaan SST nanti, kita akan kekalkan harga dan tak perlu naik,” katanya.
Pada perkembangan lain, beliau mengumumkan bahawa kerajaan Pulau Pinang akan menganjurkan Ekspo Perumahan Mampu Milik di Prangin Mall pada 18 dan 19 Ogos nanti.
Jelasnya, ekspo itu akan menampilkan sebanyak 13 pemaju perumahan melibatkan pelbagai projek di kawasan pulau dan Seberang Perai.
“Kita dah berjaya tunaikan janji dalam Manifesto Pakatan Harapan untuk bina 75,000 rumah mampu milik, malah sasaran itu telah mencapai 80,000 unit rumah akan dibina.
“Buat masa ini 28,000 unit sudah dibina, 22,000 unit sedang dibina dan 30,000 unit lagi telah lulus untuk dibina.
“Ekspo ini sangat penting untuk membolehkan rakyat Pulau Pinang mendapat rumah idaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kerajaan BN pada sebelum ini menganaktirikan Pulau Pinang, namun kerajaan negeri masih mampu bina rumah mampu milik dengan kerjasama pihak swasta.
Source: SH Edisi
[featured-video-plus]