Isu mahasiswa lebih penting: Pembina

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) menegaskan isu mahasiswa adalah lebih penting dalam melahirkan graduan yang berkualiti pada masa depan.


Presidennya, Muhammad Azam Asri berkata, beberapa tuntutan perlu dibuat kerajaan bagi memperkasakan ilmu sains sosial dan jati diri mahasiswa, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk graduan universiti awam.


Katanya, isu ini adalah lebih penting berbanding pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan pemberian dana khas kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).


“Kita mahu kerajaan fokus kepada isu yang lebih penting daripada UEC, dana SJKC, isu kasut hitam atau putih.


“Perkasakan bidang sains sosial, kita lihat graduan sains tulen lebih banyak mendapat ‘tempat’ di negara ini. Kita mahu graduan sains sosial berada di tahap yang sama dengan mereka yang mengikuti bidang sains tulen,” katanya pada Himpunan Kebangkitan Ummah di sini, hari ini.


Dalam pada itu, beliau turut menekankan isu peluang pekerjaan kepada mahasiswa.


Katanya, hari ini dilihat bahawa semua mahasiswa terpaksa mengambil bantuan kewangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melanjutkan pelajaran.


“Tapi selepas tamat belajar, mereka perlu bayar. Kalau tak bayar, akan disenarai hitam. Kita tidak mahu situasi ini, kita mahukan hasil yang setimpal,” katanya.


Selain itu, Muhammad Azam turut menzahirkan kebimbangannya terhadap aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan mahasiswa serta perkara-perkara diskriminasi bangsa dalam bidang pekerjaan.


Menurutnya, kerajaan harus peka kerana perkara ini adalah amat membimbangkan dan dikhuatiri merosakkan jati diri mahasiswa dan anak muda negara.


“Dengarlah suara kami, kami adalah bakal pemimpin negara pada masa depan,” katanya.


Hari ini, ribuan umat Islam termasuk pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hadir dalam himpunan ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]