Jaga kebersihan diri elak HFMD

in Edisi by


SEREMBAN –  Ibu bapa dinasihatkan supaya menjaga kebersihan diri anak-anak bagi mengurangkan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini.


Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, sebanyak 1,350 kes HFMD dicatatkan pada minggu ke-28 tahun ini, berbanding tempoh sama pada tahun 2017 berjumlah 563 kes.


Katanya, disebabkan penyakit tersebut dua pra sekolah di negeri ini terpaksa ditutup bagi mengelakkan jangkitan kepada murid lain.


“Ibu bapa atau penjaga disaran menitikberatkan soal kebersihan anak-anak selain segera mendapatkan rawatan ke klinik atau hospital jika mempunyai simptom penyakit ini.


“Kita sedia maklum penyakit ini banyak berkaitan dengan kebersihan dan tahap hygiene seseorang perlu dititikberatkan bagi mengelak penyakit ini.


“Mana-mana anak yang dijangkiti HFMD, mereka dinasihatkan supaya duduk di rumah dan dikuarantin dengan baik bagi mengelakkan virus tersebut tersebar di luar pula,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kolokium Amalan Terbaik Pengetua Guru Besar di Mantin, kelmarin.


Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Maznah Abu Bakar.


Tambahnya, di negeri ini antara tempat yang terlibat dijangkiti HMFD adalah di taska di mana ada 19 kes, tadika (14) rumah persendirian (13) dan tiga pusat harian.


Setakat ini, dua buah pra sekolah ditutup sehingga 30 Julai iaitu SK Serting Ulu dan Sekolah Kebangsaan Paroi melibatkan lapan kes.


Jumlah kes penyakit HFMD di negeri ini setakat Jun tahun 2018 meningkat lebih 100 peratus berbanding tahun sebelumnya.


Tambahnya, daerah Seremban menunjukkan bilangan tertinggi iaitu 950 kes, Tampin (41), Port Dickson (75), Kuala Pilah (63), Jempol (102), Jelebu (46) dan Rembau (73).


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]