Kelantan mahu akhiri saingan dengan kemenangan

in Sukan by


KOTA BHARU – Kelantan bertekad menamatkan saingan Liga Super dengan menundukkan Pahang di Kota Bharu, malam esok, tanpa mahu memikirkan sama ada pasukan itu layak atau sebaliknya ke kempen Piala Malaysia, musim ini.


Pemangku jurulatih The Red Warriors, Yusri Che Lah mengakui keputusan pertemuan Negeri Sembilan menentang Melaka United malam ini menjadi penentu buat pasukannya untuk beraksi dalam pertandingan piala paling berprestij itu.


“Walau apa pun keputusan yang berlaku di sana (Paroi) kita perlu terus fikirkan bagaimana nak habiskan saingan liga musim ini dengan keputusan positif, sama ada layak atau tidak (ke Piala Malaysia) itu kita serah kepada keadaan.   


“Namun kalau ditakdirkan Kelantan gagal, kita harus terima kekecewaan ini. Tetapi selagi ia belum dinoktahkan masih ada peluang buat Kelantan untuk beraksi dalam Piala Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.


Sejak musim 2007, Kelantan tidak pernah gagal layak ke pertandingan Piala Malaysia manakala Negeri Sembilan tercicir dua kali iaitu pada 2014 dan 2015.


Menurut pengendali kelahiran Perlis itu, sekiranya tidak layak, skuad pantai timur itu akan mengalih tumpuan terhadap pertandingan baharu iaitu Kejohanan Challenge Cup yang diperkenalkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) buat pertama kali, pada musim ini.


“Bagi saya ia bukan pertandingan yang perlu Kelantan ambil mudah kerana dibarisi banyak pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia. Kita akan tetap beri cabaran terbaik dalam kejohanan ini,” katanya.


Dalam masa sama, jurulatih itu menuntut barisan pemainnya menanam mentaliti memburu kemenangan ketika mereka sedar skuad Tok Gajah juga turut idamkan mata penuh untuk mengakhiri saingan di tangga kedua.


“Saya akui situasi ini tetapi kita tak boleh lihat apa yang Pahang inginkan sebaliknya kita sendiri kena fikir apa yang perlu lakukan demi maruah pasukan ini,” katanya.


Sementara itu, Yusri menjelaskan dia bakal melakukan rombakan berikutan penjaga gol veteran, Mohd Shahrizan Ismail terpaksa diketepikan akibat kecederaan buku lali.


“Ketiadaan Mat Chah (Mohd Shahrizan) agak menggusarkan dan saya perlu bersandar kepada dua penjaga gol lain iaitu Mohd Farizuean (Kamarudin) dan Mohd Fikri (Che Soh) walaupun mereka jarang diturunkan sebelum ini.


“Saya juga terpaksa melepaskan tiga pemain skuad Piala Presiden kerana pasukan pelapis ini juga mempunyai misi dalam kejohanan mereka. Jadi, saya perlu menggunakan pemain sedia ada untuk menghadapi Pahang nanti,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]