Kerajaan kenal pasti 249 pembantu pelindung kanak-kanak

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan mengenal pasti 249 orang dalam kalangan anggota komuniti yang berkelayakan untuk menjadi pembantu pelindung di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016 atau dikenali Akta 611.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mereka yang bakal dilantik berperanan membantu pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menangani kes penderaan, pengabaian serta yang berkaitan pemeliharaan kanak-kanak.


“Konsep utama pembantu pelindung adalah mempercepatkan proses menyelamat kanak-kanak yang berada dalam keadaan terancam dan terabai di kawasan komuniti setempat masing-masing selain penggunaan Talian Kasih 15999 oleh masyarakat umum untuk melaporkan kes-kes ini,” katanya pada pelancaran Kempen Keselamatan Kanak-Kanak (Program 3K) 2018 anjuran Yayasan Wanita Islam di sini, hari ini.


Dr Wan Azizah berkata, kumpulan itu yang memenuhi kriteria seperti yang ditetapkan Akta 611 turut menjalani saringan di peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri.


Sementara itu, beliau berkata kerajaan komited untuk terus merangka dan melaksanakan pelbagai program serta aktiviti kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak berpandukan Pelan Tindakan Kanak-Kanak Negara, Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan.


Dr Wan Azizah berkata, kesemua pelan tindakan itu bertujuan memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.


Ia juga bertujuan menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak iaitu setiap anggota masyarakat untuk melindungi kanak-kanak, katanya.


Mengenai Program 3K, Dr Wan Azizah berkata inisiatif seumpama itu yang dijalankan badan bukan kerajaan dapat membantu melengkapkan usaha kerajaan dalam melindungi kanak-kanak.


Sinergi kolaborasi strategi perlu dipertingkatkan kerana kerjasama pelbagai pihak dapat mewujudkan momentum dan gerakan yang berkesan dalam menangani isu keselamatan kanak-kanak, katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]