Kerajaan PH digesa tunai janji

in Politik by


PENDANG – Kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH) digesa menunaikan janji yang dilafazkan mereka sebelum PRU14 lalu.


Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob berkata, sudah lebih dua bulan PH memerintah dan sepanjang tempoh itu mereka masih belum mampu menunaikan segala janji yang diberikan.


“Malaysia ‘baharu’ sajikan kita dengan pelbagai ‘keajaiban’, kita menjadi saksi kepada pemansuhan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang tidak menurunkan harga barang pun,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya.


Suraya berkata, tol pula tidak dimansuhkan seperti yang dijanjikan, harga minyak pula langsung tidak turun, malah naik.


“Nilai mata wang ringgit juga susut berbanding dolar, harga getah dan sawit semakin menurun.


“Keadaan ini jelas tidak berubah, malah ada yang makin terhimpit terutama rakyat yang hanya bergantung hidup dengan sumber pendapatan berkenaan,” katanya.


Suraya berkata, beliau yakin ramai yang tertanya-tanya tentang agenda pihak kerajaan kini untuk memperbetulkan keadaan yang semakin buruk sejak mereka berkuasa.


Suraya juga dalam kenyataannya turut membuka peluang kepada rakyat Kedah khususnya rakyat Pendang untuk mengirimkan soalan di ruang komen bagi membolehkan beliau membawa soalan berkenaan dalam sidang Dun pada Ogos nanti.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]