NGO Felda harap pentadbiran baharu dengar suara mereka

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pertubuhan Suara Generasi Ke 2 Felda (SGK2F) berharap peneroka Felda dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Felda akan diberi peluang lebih terbuka menyuarakan pendapat di bawah pentadbiran pengerusi dan anggota Lembaga Pengarah tanah rancangan itu yang baharu.


Penasihat SGK2F Datuk Zulkefli Nordin berkata, pihak-pihak ini terlibat secara langsung  dengan  pengurusan Felda, justeru mereka mempunyai gambaran lebih jelas tentang apa yang berlaku dan kehendak masa hadapan generasi-generasi baharu Felda.


“Kami generasi kedua yang sudah mulai menjadi pentadbir dan pengganti ibu bapa kami menzahirkan harapan agar di bawah kepimpinan baharu segala kemelut dan permasalahan yang telah lama berakar umbi dan menjadi kegelisahan warga peneroka akan ada jalan penyelesaian dan membawa kebaikan kepada semua.


“Besar harapan kami agar kepimpinan baharu dapat membuka pintu kepada kami NGO yang terlibat secara langsung di lapangan dalam membawakan suara ibu bapa kami dan generasi kedua tentang gambaran sebenar  yang berlaku di Felda khususnya berkaitan pengurusan ladang dan kewangan peneroka,” katanya kepada Bernama.


Semalam, bekas pengerusi Malayan Banking Bhd Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dilaporkan telah dilantik menjadi Pengerusi Felda baharu menggantikan Tan Sri Shahrir Samad, yang meletakkan jawatan Mei lalu.


Mengalu-alukan lantikan Megat Zaharuddin dan beberapa anggota lembaga pengarah baharu, Zulkefli berharap lantikan mereka akan membuka lembaran baharu dalam pentadbiran dan masa hadapan Felda.


“Kita salute sebab di bawah lantikan baharu ini, kami lihat mereka tidak langsung melibatkan orang yang berlatar belakangkan politik,” katanya.


Katanya, SGK2D dan lima lagi NGO yang bernaung di bawah Majlis Permuafakatan NGO Felda akan cuba mengadakan pertemuan dengan pengerusi Felda baharu Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, dalam masa terdekat untuk menyampaikan hasrat mereka.


Lima NGO lain di bawah Majlis Permuafakatan NGO Felda ialah Kami Anak Felda, Majlis Belia Felda Malaysia, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Persatuan Pekerja-pekerja Felda dan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Felda. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]