PRK Sungai Kandis: Siapa dapat lebih sokongan?

in Politik by


SHAH ALAM – Kempen PRK Dun Sungai Kandis yang kini memasuki hari ketujuh menyaksikan pelbagai senario menarik susulan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PKR dan Bebas.


Pada peringkat permulaan, kempen ketiga-tiga calon dilihat agak perlahan namun tempo tersebut mula berubah apabila memasuki hari ketiga di mana setiap parti menggunakan pendekatan tersendiri bagi menarik sokongan rakyat menjelang hari penentuan pada 4 Ogos ini.


Dalam menagih sokongan daripada rakyat, setiap calon dilihat cuba untuk menonjolkan diri masing-masing dengan membawa isu-isu tertentu.


Sebagai contoh, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni lebih mengutamakan isu-isu setempat seperti masalah infrastruktur melibatkan kerosakan jalan, longkang tersumbat, lampu jalan dan lain-lain untuk menawan hati para pengundi.


Calon BN pula, Datuk Lokman Noor Adam lebih memainkan isu-isu di peringkat nasional dan melibatkan agama bagi menyerang pihak lawan dalam usaha untuk meyakinkan pengundi di Dun tersebut.


Namun begitu, perjalanan PRK Sungai Kandis kali ini lebih menyaksikan pertembungan antara PKR dan BN berikutan calon Bebas, Murti Krishnasamy tidak begitu menonjol bagi menawan hati pengundi di kawasan itu.


Tawaran siapa paling menawan?


Menerusi tinjauan Sinar Harian di kawasan itu juga, kebanyakan penduduk berpendapat bahawa mereka lebih melihat kepada tawaran yang diberikan kepada penduduk setempat dalam membuat pilihan calon wakil rakyat pada PRK Sungai Kandis kali ini.


Jika dilihat berdasarkan sokongan rakyat dalam tempoh seminggu kempen ini, Zawawi kelihatan lebih ‘menjuarai’ sokongan berdasarkan daripada isu-isu dan tawaran yang dibawa kepada penduduk di Dun itu.


Zawawi yang merupakan anak tempatan di kawasan itu ternyata lebih menyerlah dalam membawa isu-isu setempat di samping turut memperjuangkan suara golongan wanita dan belia.


Namun, situasi berbeza di kem BN apabila Lokman menjadikan isu-isu dan kepincangan kerajaan PH di peringkat nasional sebagai senjata untuk melawan wakil daripada PKR.  Malah, Lokman lebih gemar untuk membangkitkan mengenai janji 100 Hari PH, royalti minyak serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST).


Selain itu, Lokman kurang memainkan isu setempat berikutan beliau juga bukan merupakan anak tempatan di kawasan itu dan kurang arif tentang kemahuan masyarakat di sana.


Kempen PKR menyerlah


Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian sepanjang seminggu kempen berlangsung, PKR dilihat lebih menyerlah dalam pergerakan kempen malah setiap siri ‘walkabout’ yang dijalankan turut mendapat sambutan meriah daripada penduduk setempat.


Selain itu, Zawawi juga kerap turun ke tapak pasar malam, sekolah tahfiz, pusat perlindungan wanita dan beberapa lokasi lain bagi meninjau keadaan infrastruktur serta mendekati masyarakat di sana.


Keperibadian Zawawi sebagai seorang ilmuwan agama serta susur galur keturunan beliau yang sememangnya berasal dari kawasan itu memberi kelebihan buat beliau dalam mendapat sokongan rakyat.


Manakala, kempen Lokman pula kelihatan tidak begitu agresif melainkan terdapat pimpinan di peringkat nasional turun padang untuk membantu pergerakan jentera.


Ini dapat dilihat dengan jelas apabila ramai penyokong BN keluar bagi memberi sokongan sewaktu bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa pimpinan lain turun padang bagi membantu kempen Lokman.


Dengan ketiadaan Pas pada kali ini, BN sewajarnya menggunakan peluang itu untuk memainkan isu-isu setempat selain menggunakan isu nasional bagi menyerang pihak lawan mereka.


Walau bagaimanapun, tempoh berkempen masih berbaki lagi seminggu sebelum hari pengundian.


Namun begitu, setiap calon pastinya mempunyai strategi dan pendekatan tersendiri dalam usaha untuk menarik lebih banyak sokongan daripada pengundi. Kita tunggu!


Source: SH Politik

[featured-video-plus]