Tahfiz perlu sumbangan langsai hutang bangunan

in Edisi by


MARAN – Maahad Tahfiz Al-Hakim Felda Jengka 15 merayu sumbangan orang ramai bagi membantu melangsaikan baki hutang bangunan yang tertunggak mencecah RM67,000.


Bagi tujuan itu, maahad berkenaan menyediakan peluang kepada masyarakat untuk menyumbang dana wakaf bangunan sebanyak RM50 untuk sekaki persegi.


Guru maahad itu, Mohd Salleh Mohd Isa Al Hafiz berkata, tahfiz tersebut masih lagi memerlukan sumbangan bagi membayar lebihan baki hutang bangunan yang sedia ada ini.


“Hutang yang masih tertunggak perlu diselesaikan. Amal kebaikan yang kita lakukan di dunia ini pasti akan dibalas oleh Allah SWT di akhirat kelak. Amal ini juga yang akan berterusan berjalan apabila Matinya kita.


“Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya melainkan tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak soleh yang mendoakannya,” katanya


Sehubungan itu beliau meminta orang ramai membantu pembangunan tahfiz berkenaan bersama sebagai langkah membina generasi pembela agama dan al-Quran.


Beliau berkata, sekolah tersebut mempunyai 38 pelajar lelaki berusia 13 hingga 17 tahun dengan empat tenaga pengajar.


Menurutnya, sejak dibuka awal tahun lepas, sekolah yang mempunyai tiga kelas dan dua bilik asrama itu memerlukan perbelanjaan kos operasi lebih RM11,000 sebulan.


Menurutnya, kos itu termasuk bil elektrik, air, penyelenggaraan, makan minum pelajar serta gaji guru dan kakitangan pentadbiran.


Yuran pelajar berjumlah RM230 sebulan tidak dapat menampung keseluruhan kos operasi yang kebanyakannya ditanggung oleh dana orang ramai serta ahli perniagaan.


“Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan saya di talian 014-5492259. Manakala untuk sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Pembangunan Tahfiz Al-Hakim156141528644 (Maybank),” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]