Tapak ganti pusat lupus sampah Bukit Payong belum ada

in Edisi by


BATU PAHAT – Jawatankuasa teknikal ditubuhkan bagi mengenal pasti tapak gantian lebih sesuai projek pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong berikutan berterusan menerima bantahan penduduk.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains Dan Teknologi Johor, Tan Hong Pin berkata, setakat ini pihaknya mempunyai tiga cadangan tapak lain di daerah ini, namun masih dalam proses penilaian.


“Kerajaan negeri akan hantar surat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar menangguhkan projek pembinaan sementara jawatankuasa teknikal kaji tapak gantian,” katanya selepas menghadiri sesi taklimat bersama pemimpin dan penduduk kampung, semalam.


Projek pembinaan tapak pelupusan sampah itu yang diluluskan kerajaan terdahulu dan dijangka beroperasi pada 2020 mendapat bantahan penduduk sebelum ini kerana didakwa boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan menjejaskan penda­patan penduduk.


Sementara itu, Hong Pin berkata, kerajaan negeri sedang mencari jalan penyelesaian jangka pendek kepada pusat pelupusan sampah sedia ada di beberapa lokasi berdekatan yang sudah mencapai tahap maksimum dan kritikal.


Ini termasuk di Bukit Bakri, Simpang Renggam, Tangkak dan Pekan Nanas sehingga ada sebahagiannya dilanjutkan tempoh hayatnya, walaupun tapak itu sudah tidak sesuai lagi, katanya. – Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]