Umno perlu fokus keahlian 18 tahun bukan turunkan had umur

in Politik by


SHAH ALAM – Umno perlu menumpukan kepada penyertaan ahli berusia 18 tahun berbanding menurunkan had umur ahli kepada 16 tahun.


Ketua Pusat Pengajian Asia Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Faisal S Hazis berkata, ini kerana penyertaan kumpulan tersebut dalam parti dilihat belum mencapai tahap maksimum.


Menurutnya, Umno perlu mengambil pendekatan memberi kesedaran kepada remaja berusia 18 tahun untuk menyertai politik terlebih dahulu.


“Saya rasa apa yang cuba dilakukan oleh Umno adalah untuk menarik pengundi dalam golongan remaja ini selaras dengan kenyataan daripada kerajaan sekarang yang mahu menurunkan had umur mengundi dalam pilihan raya.


“Pada saya, lebih penting adalah menambah keahlian dalam mereka berusia 18 tahun ini terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu memutuskan turunkan had umur ahli kepada 16 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.


Katanya, ia selaras untuk memenuhi hasrat akar umbi Umno dan bagi memastikan beberapa perubahan dapat dilakukan pada struktur organisasi parti itu.


[ARTIKEL BERKAITAN: Umno turunkan had umur dari 18 kepada 16 tahun]


Mengulas perkara tersebut, Faisal mencadangkan agar parti tersebut mengubah persepsi bahawa Umno adalah sebuah parti elit dan bersifat ekslusif.


“Ubah persepsi bahawa mereka yang memegang jawatan ini adalah golongan elit seperti jika kamu adalah kroni, kamu akan dapat jawatan dan jika kamu seseorang, kamu akan dapat laluan mudah,” katanya.


Jelasnya, sekiranya benar Umno mahu meremajakan parti, mereka perlu melihat semula had usia bagi jawatan seperti Ketua Pemuda dan Puteri.


“Kalau ahli sertai Umno pada usia 16 tahun, tetapi jawatan-jawatan utama seperti Ketua Pemuda dan Puteri Umno itu disandang oleh mereka berusia 40 tahun.


“Berapa lama dan berapa jauh perjalanan mereka untuk mendapatkan jawatan berkenaan jika individu tersebut memenuhi kriteria sebagai ketua,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]