Usah pinggir hak orang Melayu

in Nasional by


KUALA LUMPUR – “Sekiranya Perlembagaan dan hak-hak orang Melayu dipinggirkan termasuklah agama Islam, pendidikan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan biasiswa, itu adalah kerugian kepada bangsa itu sendiri,” kata Ahli Exco Ikatan Arkeologi Malaysia, Zahara Sulaiman.


Menurutnya, jika hal itu berlarutan, ia akan merugikan terutama pelajar Melayu yang melanjutkan pengajian ke pendidikan tinggi.


“Hari ini kita juga lihat banyak tanah rizab Melayu digunakan untuk pembangunan, tapi tidak dikembalikan kepada orang Melayu.


“Kita akan berdepan masalah jika persempadanan ini tidak dibezakan, kita akan kehilangan tanah-tanah penting kepada orang bukan Melayu yang kononnya tanah itu akan diganti,” katanya dalam Himpunan Kebangkitan Ummah, berlangsung di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, hari ini.


Beliau berkata, sebagai contoh seperti di Kuala Lumpur, baki tanah rizab Melayu kurang daripada 10 peratus dan mungkin hanya satu peratus sahaja hari ini.


Katanya, jika kerajaan tidak ambil tegas isu ini, adakag orang Melayu boleh mendapatkan semula tanah berprestij ini?


“Diharap kerajaan membuat sesuatu, kalau kita lihat hari ini Melayu banyak hilang tuju dan identiti. Kalau ini berterusan, kita akan jadi malas untuk bersuara dan akan terus dipermainkan serta diabai.


“Kerajaan perlu didesak agar membuat pelan tindakan untuk menguruskan tanah rizab Melayu,” katanya.


Selain itu, beliau turut membidas dakwaan mengatakan Melayu ini adalah pendatang.


“Nama pun Semenanjung Tanah Melayu, adalah sahih ia adalah Tanah Melayu. Bila ditukar nama Malaysia, itu adalah Bahasa Inggeris, ‘Malay’ bermaksud Melayu dan Sia adalah Kepulauan Tanah Melayu.


“Jadi kenapa kita dipinggirkan walaupun kita adalah penduduk majoriti? 68.8 peratus adalah orang Melayu di Malaysia dan hampir 70 peratus. Jadi mengapa suara kita tidak didengari? Ini yang kita pertikaikan, kita bukannya pendatang,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]