Bufet durian, makan sampai muntah

in Edisi by


KOTA BHARU – Bufet durian julung kali menjengah Kelantan dengan harga hanya serendah RM15 setiap orang, pelanggan boleh menikmati raja buah itu sampai kenyang.


Idea diketengahkan Pengerusi Pemburu Buah Group, Shahmiazani Mohd Tanazi, 25, dan rakan niaga, Thomas, 28, bertempat di hadapan Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Kota Bharu.


Shahmiazani berkata, dia yang berasal dari Peringat, Kota Bharu menyedari trend terkini menjual durian secara timbang kilo dan idea di bawa ke negeri kelahirannya itu bertujuan berkongsi rezeki keenakan durian berkenaan.


“Tahun ini buah durian banyak yang menjadi berbanding tahun lalu dan buleh dibuat bufet istimewa kepada penggemar durian.


“Untuk pengenalan kali ini kita mulakan dengan harga serendah RM15 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke atas,” katanya.

Shahmiazani (kiri) melayan pelanggan cilik menikmati durian di gerainya.


Menurutnya, sejumlah 3,000 kilogram (kg) diperuntukkan untuk pesta bufet durian berkenaan yang bermula pada 27 Julai lalu sehingga stok habis.


“Durian yang disediakan untuk bufet adalah dari jenis kampung khawin dan isinya sangat lemak dan manis dimakan.


“Setiap pelanggan boleh datang seberapa ramai dan makan seberapa banyak yang mereka mampu serta mahu untuk menikmati raja buah yang enak ini sampai puas hati,” katanya.


Shahmiazani berkata, dia juga membekal dan menjual pelbagai lagi jenis durian lain bermula harga serendah RM3.50 sekilogram sehinggalah ke jenis udang merah; D24; D88; Holo Tika; D2; D13; durian cikgu dan paling mahal musang king yang berharga RM28 sekilogram.


“Kemuncak bufet biasannya berlaku selepas jam 5 petang ketika orang ramai pulang bekerja dan pelanggan boleh memilih masa mereka bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam untuk menikmati buffet ini.


“Kami sediakan paling kurang 20 meja dan paling banyak pelanggan pernah menghabiskan 70 kg durian atau 50 biji durian dengan tiga orang makan hanya dengan bayaran RM15 setiap orang,” katanya.  


Sementara itu, seorang daripada pelanggan Hafiza Zakaria dan suami, Mohd Khairul Arman Zain masing-masing 30 tahun berkata, mereka penggemar durian dan semata-mata datang untuk menikmati bufet itu.


“Saya berpuas hati dengan harga yang murah boleh makan sampai kenyang.


“Buahnya pun sedap dengan layanan pekerja yang sangat baik membuka serta memberi buah yang elok kepada pelanggan yang melanggan pakej bufet ini,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]