Bukan soal kebergantungan kepada Pas

in Politik by


SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberikan pujian terhadap kesepakatan yang berlaku antara Umno dan Pas khususnya menjelang PRK Dun Sg Kandis.


Namun, katanya, soal kerjasama Umno dan Pas sebagai satu blok pembangkang dan peluang untuk menewaskan PH pada PRK ini bukanlah soal kebergantungan Umno kepada Pas semata-mata, sebaliknya ia lebih kepada strategi dalam berpolitik.


“Saya suka untuk mengatakan bahawa dalam politik ini ada pelbagai telahan dan juga jangkaan, atas sifat kematangan ini bukan soal kebergantungan kepada sesiapa tetapi politik ini memerlukan ‘the game of numbers’ iaitu jumlah pengundi yang menjadi faktor penentu.


“Jadi, sebagai pihak pembangkang kita kena bijak untuk menentukan ‘the game of numbers’  ini dan diterjemahkan dalam peti undi nanti,” katanya di Bilik Gerakan Utama BN di Sg Kandis.


Menurutnya, komitmen kerjasama ini adalah hasil daripada kematangan politik antara kedua-dua parti yang seterusnya mewujudkan satu landskap politik yang baru di negara ini.


“Dari awal sudah ada komitmen antara kedua-dua parti (Pas dan BN) sebagai pembangkang, atas kematangan politik kita dah bersepakat di mana BN akan mengambil posisi untuk bertanding pada kali ini.


“Dan dari tempoh penamaan calon hingga hari ini, menampakkan satu isyarat yang jelas daripada Pas di atas dokongan kematangan politik yang menampakkan satu kesepakatan yang baru.


“Saya kira ia satu kematangan politik yang jelas seperti kehadiran pimpinan utama Pas dan Umno pada majlis malam tadi (kelmarin), ini merupakan satu perkara yang menjadi hal yang cukup baru kepada landskap politik negara,” katanya.


Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Ummah mengatakan pendirian kepada penyokong Pas agar PH tewas dalam PRK Dun Sg Kandis.


Nasrudin berkata, pengundi Sg Kandis cukup cerdik untuk menilai calon mana yang perlu dipilih selepas apa yang dilakukan oleh PH sejak menjadi kerajaan.


[ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Pas boleh sokong BN tapi PKR ada kelebihan]


Source: SH Politik

[featured-video-plus]