Gempa Lombok: Kerajaan akan bawa pulang jenazah mangsa

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan akan membawa pulang segera jenazah seorang rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, hari ini.


Mangsa dikenali sebagai Siti Nur Ismawida, 30, yang dalam program mendaki gunung berapi Rinjani bersama 17 warga Malaysia lain.


Mangsa terkorban akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan, manakala enam lagi turut dilaporkan cedera.


“Kerajaan Malaysia akan berusaha untuk segera mengenal pasti wanita tersebut dan akan membawa jenazah tersebut pulang ke tanah air,” katanya menerusi catatan dalam laman Twitter beliau.


Dr Wan Azizah pada masa yang sama, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa kejadian tersebut dan berharap mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan itu.


“Saya sedih menerima berita kejadian gempa bumi bermagnitud 6.4 di Lombok yang berlaku pagi tadi. Sehingga kini, difahamkan 10 mangsa meninggal dunia, termasuk seorang wanita warganegara Malaysia berusia 30 tahun,” katanya.


Maklumat lengkap berhubung mangsa dan kumpulan pendaki dari Malaysia itu masih belum diperoleh sepenuhnya dan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia juga masih berusaha mendapatkan maklumat lengkap berhubung kejadian tersebut.


Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pada 5.47 pagi Ahad menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggalkan kediaman dan bangunan.


Setakat 2 petang ini, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan 40 orang dilaporkan cedera parah dan luka ringan manakala 10 orang disahkan meninggal dunia. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]