Impian damai di Mindanao

in Global by


SULTAN KUDARAT – Puluhan ribu anggota dan penyokong kumpulan pemberontak terbesar di Filipina berhimpun, semalam untuk berbincang tentang undang-undang yang memberikan mereka kuasa autonomi yang diharap dapat menjadikan ‘impian damai’ mereka satu realiti.


Langkah itu dibuat selepas Presiden Rodrigo Duterte menandatangani undang-undang itu yang merupakan satu langkah penting untuk menamatkan pemberontakan di wilayah selatan negara tersebut yang telah meragut kira-kira 150,000 nyawa sejak 1970-an.  


Perhimpunan di kem Darapanan di Maguindanao yang merupakan ibu pejabat Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) itu turut dihadiri penduduk setempat termasuk golongan wanita dari beberapa kawasan di Mindanao.


Difahamkan, pemimpin mereka sedang mencari sokongan menjelang referendum terhadap langkah itu yang akan mewujudkan wilayah autonomi secara meluas, sekali gus menghentikan konflik paling berdarah di Asia.


“Ini adalah impian kami. Jika pemberontakan ini tamat, kami berharap dapat hidup secara aman. Kebanyakan penduduk mahukan keamanan, begitu juga kami. Apa yang kami capai ketika ini adalah untuk seluruh penduduk Mindanao,” kata anggota veteran MILF, Nasser Samama, 61.


Difahamkan, pemberontak di wilayah selatan Filipina itu telah sekian lama berjuang menuntut kemerdekaan atau kuasa autonomi diwujudkan.


Undang-undang diluluskan Duterte itu bertujuan untuk menguatkuasakan kesepakatan damai yang dicapai pada 2014, namun perjanjian itu didakwa rapuh walaupun MILF bersetuju meletakkan senjata sebagai pertukaran untuk memerintah sendiri.


Di bawah undang-undang itu, entiti politik baharu dikenali sebagai Wilayah Autonomi Bangsamoro akan menggantikan wilayah sedia ada yang diwujudkan susulan perjanjian bersama Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pada 1996. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]