Jangan keruhkan keadaan: Exco AMK

in Politik by


SHAH ALAM – Semua pimpinan AMK digesa menguatkan ukhuwah antara satu sama lain dan tidak mengeruhkan  keadaan menjelang Pemilihan PKR September ini.


Exco AMK Pusat, Jestin Raj Savarimuthu berkata, beberapa perkara menjadi tular dan antara yang hangat diperkatakan ketika ini adalah isu pelantikan ahli majlis di Selangor.


“Saya percaya ada percanggahan bagi pengagihan kerusi ahli majlis kuota PKR di beberapa kawasan. Setiap kali proses pelantikan ahli majlis diadakan, akan timbul pelbagai masalah dan sekarang pun perkara yang sama sedang hangat diperkatakan. Bagaimanapun, tuduhan yang tidak berasas terhadap kerajaan negeri agak mengecewakan.


[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Syed Badli tidak penuhi kriteria ditetapkan’]


“Semua pimpinan AMK perlu kuatkan ukhuwah antara satu sama lain dan tak keruhkan keadaan menjelang pemilihan parti nanti. Kita kadang-kala tak boleh selesaikan semua perkara tetapi boleh laksana konsep menang-menang.Saya percaya pihak Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor ambil pendapat semua pihak namun mungkin disebabkan beberapa isu yang tidak dapat dielakkan, mereka perlu mengambil konsensus dari semua pihak,” katanya.


Ujarnya lagi, isu peletakan jawatan Setiausaha AMK Selangor tidak wajar ketika ini tambahan pemilihan parti akan diadakan tidak lama lagi.


Dalam pada itu, beliau menggesa AMK untuk meneruskan agenda rakyat dan berusaha memastikan kesepakatan diutamakan seperti yang selalu diminta oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Terdahulu,  Setiausaha AMK Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam kepimpinan negeri ini.


Beliau mendakwa amalan demokrasi telah mati dalam PKR Selangor apabila terdapat segelintir pemimpin PKR di negeri ini merosakkan parti dengan amalan kronisme dan nepotisme.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]