
KUALA KETIL- Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dituntut mengenal pasti jalan raya berlubang untuk segera dibaik pulih supaya insiden kemalangan meragut nyawa di Titi Panjang, Khamis lalu tidak lagi berulang.
Dalam nahas 26 Jun lalu, seorang warga Mesir maut apabila kenderaan dinaiki terbabas ketika cuba mengelak lubang di tengah jalan raya.
Adun Kuala Ketil, Mejar ( B) Mansor Zakaria berkata, JKR perlu ambil pendekatan mengenal pasti jalan-jalan berlubang dan berbahaya kepada pengguna.
“Saya difahamkan kemalangan Khamis lalu disebabkan jalan tidak diselenggara hampir dua tahun. Dengan apa berlaku ini, kita rasa sangat tercabar.
“Walaupun jalan itu di bawah peringkat persekutuan, jalan kampung atau sebagainya, tetapi apabila menerima aduan JKR perlu segera ambil tindakan kerana ia salah satu punca kemalangan,” katanya.
Beliau berkata, di Baling masih banyak laluan perlu diselenggara antaranya ialah jalan raya menghubungkan Batu 2 menghala ke Padang Geh.
“Jabatan-jabatan lain di Baling juga perlu ambil pendekatan turun untuk pantau keadaan jalan mengikut bidang-bidang tugas masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan akan dibangkitkan dalam Sidang Dun serta Mesyuarat Tindakan Daerah.
Selain itu katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) diharap dapat memberikan perhatian yang lebih kepada masalah jalan di negara ini melalui peruntukan atau pemantauan terhadap tugasan anggota.
Source: SH Edisi
[featured-video-plus]