Kaji maahad tahfiz tidak tawarkan SPM ditutup

in Nasional by


CHIANG MAI – THAILAND. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) membuat kajian khas bagi mewajibkan atau tidak, semua maahad tahfiz di Perlis yang tidak menawarkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditutup.


Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua MAIPs, mahu Jawatankuasa Pelajaran MAIPs membuat kajian menyeluruh dalam masa terdekat bagi menilai perkara itu.


“MAIPs menerima banyak keluhan dan permintaan daripada ibu bapa agar anak-anak mereka yang belajar di maahad tahfiz di dalam dan luar Perlis diberi peluang menduduki SPM.


“Bagi tujuan itu, mereka mahu semua pengelola maahad tahfiz di Perlis menawarkan SPM,” titah Tuanku Syed Faizuddin selepas menyampaikan zakat MAIPs kepada Sekolah Agama Attaqwa yang diterima pengetuanya Ustaz Suphachai Fooanant di sini, petang semalam.


Sekolah tersebut mempunyai 82 pelajar lelaki dan 72 perempuan yang mengkhusus dalam pengajian Islam dan bahasa Arab dan dibimbing 22 tenaga pengajar.


Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kegagalan melaksanakan peraturan itu akan menyebabkan pelajar maahad tahfiz menjadi mangsa sistem pendidikan yang tidak selaras.


“Saya mahu MAIPs menyasarkan tahun 2020 bagi melaksanakan peraturan itu sepenuhnya jika laporan kajian tersebut menunjukkan maklum balas positif bagi memartabatkan maahad tahfiz selain meningkatkan kebolehpasaran pelajarnya,” titah baginda.


Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin mahu maahad tahfiz di Perlis diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).


Baginda berada di Chiangmai atas undangan Persatuan Woodball Malaysia (MWA) untuk menerima bendera sebagai penganjur Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) 2020 di Perlis bersempena majlis penutupan dan penyampaian hadiah WCWC ke-8 yang dihoskan Persatuan Woodball Thailand di Chiang Mai, malam ini. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]